KUALA LUMPUR, 17 Okt: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) kini sedang menyediakan Pelan Induk Tebatan Banjir Batang Lupar yang juga melibatkan kawasan Lingga.
Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kajian tersebut dijangka akan siap menjelang Disember tahun depan.
“Pelan induk ini akan menggariskan cadangan mengatasi banjir di kawasan Batang Lupar dan menjadi rujukan utama sebelum projek fizikal tebatan banjir dilaksanakan,” katanya menerusi jawapan lisan yang dipaparkan dalam laman web rasmi Parlimen Malaysia.
Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli membangkitkan perkara berkenaan kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air yang mahu menyatakan status terkini pelaksanaan Projek Mengatasi Banjir Pantai Sarawak dan perancangan dalam tempoh masa terdekat untuk turut mengatasi masalah hakisan tebing pantai dan membina struktur tebatan banjir di sekitar kawasan Pekan Lingga.
Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kementeriannya melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut sedang melaksanakan Projek Mengatasi Banjir Pantai di Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dengan kos berjumlah RM 316 juta yang melibatkan 17 lokasi di enam (6) Bahagian iaitu Kuching, Betong, Mukah, Miri, Limbang dan Samarahan.
Menurutnya, pelaksanaan projek itu kelak dijangka akan memberi manfaat untuk mengurangkan impak kejadian banjir pantai ke kawasan penduduk di persisiran pantai, melindungi harta benda dan kawasan pertanian.
“Projek ini akan dilaksanakan secara reka dan bina dan sedang dalam proses perolehan.
“Berdasarkan perancangan, pelaksanaan kerja akan bermula pada Oktober 2025 dan tempoh pelaksanaan projek adalah selama lima tahun,” menurut jawapan lisan itu lagi.
Pelaksanaan projek itu akan melibatkan skop utama seperti membina struktur perlindungan banjir pantai dan kawalan hakisan serta kerja-kerja yang berkaitan.
Sumber: TVS
댓글