top of page

Kajian kebolehlaksanaan Projek Kereta Api Trans Borneo kini dalam fasa pelantikan konsultan


Kajian kebolehlaksanaan bagi projek Kereta Api Trans Borneo yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan kini berada dalam proses pelantikan konsultan oleh Kementerian Pengangkutan. Foto hiasan AFP

KUCHING, 12 Nov: Kajian kebolehlaksanaan bagi projek Kereta Api Trans Borneo yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan kini berada dalam proses pelantikan konsultan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT).


Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil berkata konsultan akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk menilai dan menentukan model kereta api yang sesuai bagi pelaksanaan di Sarawak dan Sabah.


“Dalam usaha memastikan kelancaran projek, Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) mewakili Kerajaan Sarawak sebagai ahli dalam jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa pemandu, bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan (MOT), agensi persekutuan, badan berkanun dan Kerajaan Sabah.


“Tugas utama kedua-dua jawatankuasa ini adalah untuk menyelaras dan memantau kajian kebolehlaksanaan projek ini bagi memastikan hasil yang komprehensif dan tepat,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.


Menurutnya, antara wakil lain dari Kerajaan Sarawak dalam jawatankuasa tersebut termasuk Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak, Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) Sarawak, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) Sarawak serta Jabatan Tanah dan Survei.


Beliau menjawab persoalan dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan Baru Bian yang mahu mendapatkan maklumat mengenai keterlibatan Kerajaan Sarawak dalam Projek Kereta Api Trans-Borneo.


Tambah Dr Jerip, skop kajian kebolehlaksanaan itu turut merangkumi aspek model kewangan untuk projek berkenaan yang mana ia akan ditentukan berdasarkan hasil kajian yang dijangka selesai dalam tempoh yang akan datang.


Menjawab soalan tambahan, beliau berkata terdapat empat skop kajian kebolehlaksanaan itu yang merangkumi skop teknikal, skop komersial, skop sosio-ekonomi dan pembiayaan projek.


Katanya lagi, tempoh projek kajian kebolehlaksanaan adalah 12 bulan.


Sumber: TVS

Comments


bottom of page