top of page

Kajian kebolehlaksanaan bina terowong dasar laut Pulau Pinang belum lengkap - Loke



KUALA LUMPUR: Kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas teruk di negeri itu masih belum lengkap berikutan faktor tertentu.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata antara faktornya, belum ada ketetapan membabitkan projek pembesaran pelabuhan di Butterworth.


"Berdasarkan makluman dari kerajaan Pulau Pinang, kajian kebolehlaksanaan projek terbabit masih belum dilengkapkan atas sebab tertentu.


"Ini termasuk perancangan projek pembesaran pelabuhan di Butterworth," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.


Beliau menjawab soalan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) yang ingin tahu status terkini projek terowong dasar laut Pulau Pinang.


Untuk rekod, projek terowong sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Gurney Drive ke Bagan Ajam di tanah besar itu adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang untuk 30 tahun iaitu mulai tahun lalu hingga 2053.


Projek terbabit dirancang dan dilaksanakan Kerajaan Pulau Pinang sepenuhnya.


Loke turut memberitahu sebarang projek pembinaan struktur terowong bagi laluan kenderaan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya (KKR) termasuk laluan sama ada di atas daratan dan di bawah dasar laut, selain pembinaan infrastruktur seperti jambatan, lebuh raya serta jalan raya.


Comments


bottom of page