KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak digesa untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi pembinaan lapangan terbang serantau baharu di tengah-tengah antara Miri dan Bintulu.
Adam Yii (GPS-Pujut) berkata, kajian itu harus meneroka lokasi yang berpotensi, kos dan faedah ekonomi lapangan terbang baharu untuk memberi perkhidmatan kepada seluruh wilayah utara Sarawak.
“Memandangkan lapangan terbang adalah di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, inisiatif ini memerlukan sokongan daripada kerajaan persekutuan.
“Bagaimanapun jika sokongan yang diperlukan tidak datang daripada kerajaan persekutuan, maka Kementerian Pengangkutan Sarawak boleh mempertimbangkan untuk melakukannya sendiri.
“Atau dengan kerjasama pelabur asing, merujuk kepada Lapangan Terbang Senai, Johor di mana Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB) mengambil alih operasi daripada Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) pada 2003 di bawah konsesi 50 tahun untuk membangunkan lapangan terbang itu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Penghargaan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada persidangan DUN di sini, hari ini.
Yii berkata, sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu mungkin terletak secara strategik antara Miri dan Bintulu yang menawarkan kelebihan ketara dalam menyediakan platform lebih besar untuk penumpang kerana ia akan memberi perkhidmatan kepada seluruh wilayah utara.
Katanya, ia mewujudkan pasaran yang lebih besar untuk syarikat penerbangan dengan sekurang-kurangnya 600,000 penduduk atau pasaran (350,000 untuk Miri dan 250,000 untuk Bintulu), tidak termasuk potensi 400,000 rakyat Brunei.
Katanya, lapangan terbang antarabangsa baharu boleh direka bentuk untuk menampung jumlah lalu lintas yang lebih tinggi, termasuk pesawat yang lebih besar dan berpotensi meningkatkan penerbangan antarabangsa terus.
“Ia akan menjadi lapangan terbang moden yang bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan, pelancongan, dan perdagangan ke seluruh wilayah utara Sarawak,” katanya.
Di samping itu, dengan pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara, lapangan terbang itu dapat menyediakan penyelesaian sambungan kepada syarikat penerbangan yang bertujuan untuk menghubungkan antara Sarawak, Brunei dan Indonesia, katanya.
Beliau menegaskan, pembangunan masa depan utara Sarawak amnya, khususnya bandar raya Miri akan bergantung kepada ketersambungan yang diperlukan kepada dunia luar.
“Kelulusan kerajaan persekutuan untuk cadangan menaik taraf Lapangan Terbang Miri pada 2018 telah ditangguhkan secara serius, menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk Miri.
“Kelewatan berterusan peruntukan belanjawan tidak boleh dipandang ringan. Walaupun mempercepatkan naik taraf Lapangan Terbang Miri yang diluluskan tetap menjadi keutamaan, saya percaya kita juga mesti mempertimbangkan penyelesaian jangka panjang pembinaan 'Lapangan Terbang Antarabangsa Serantau Baharu',” katanya.
Sumber: Utusan Borneo
Kaji pembinaan lapangan terbang serantau baharu antara Miri dan Bintulu, cadang Yii
Comentarios