KUANTAN: Kerajaan Persekutuan meluluskan 40 projek di Pahang melibatkan kos lebih RM5.9 bilion menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Timbalan Menteri PETRA Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata daripada jumlah itu 25 projek dikendalikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang melibatkan 13 projek sambungan manakala 12 projek baharu yang keseluruhannya melibatkan peruntukan lebih RM4.1 bilion.
Beliau berkata projek baharu berkenaan telah dimulakan tahun ini merangkumi kerja-kerja antaranya tebatan banjir, menaik taraf sistem saliran dan pemuliharaan pantai yang dijangka siap secara berperingkat.
“Ia termasuk projek tebatan banjir di Sungai Lembing (Kuantan) melibatkan kos RM126 juta yang telah bermula tahun ini dan dijangka siap sama ada Disember 2026 atau awal 2027,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Tiga Projek Siap yang dilaksanakan PETRA menerusi JPS kepada kerajaan Pahang yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Datuk Razali Kassim.
Projek siap tersebut yang membabitkan peruntukan lebih RM155 juta merangkumi kerja-kerja tebatan banjir dan menaik taraf sungai melibatkan daerah Cameron Highlands dan Kuantan.
Beliau berkata satu daripada projek tersebut ialah projek Rancangan Tebatan Banjir Lembah Bertam-Sungai Ringlet, Cameron Highlands membabitkan kerja-kerja meningkatkan kapasiti sungai dengan menaik taraf Sungai Ringlet sepanjang 1.1 kilometer (km) dan enam jambatan.
Selain itu, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kuantan, Pakej 1 iaitu projek menaik taraf Sungai Belat dan membina struktur pencegah banjir pula melibatkan pembinaan ban pencegah banjir sepanjang 14.4 km selain mendalamkan Sungai Belat sepanjang 14 km.
Turut dilaksanakan langkah mencegah hakisan di Pantai Sepat, Kuantan dengan kerja-kerja menambak pantai (beach nourishment) bagi memulihara semula kawasan pantai yang terjejas akibat hakisan dan mengurangkan kesan hakisan di kawasan pantai sepanjang 1.2 km.
“Kita memutuskan untuk buat proses penyerahan bagi memastikan projek yang telah disiapkan mencapai objektif dan sebagai pengetahuan kepada orang ramai mengenai infrastruktur yang siap dibina ini,“ kata Akmal Nasrullah.
Sumber: The Sun
K’jaan persekutuan lulus 40 projek di Pahang bernilai lebih RM5.9 bilion
Comments