DOHA: Penganjur Piala Dunia di Qatar melaporkan kematian pertama coronavirus membabitkan pekerja yang bertugas pada pembinaan venue Piala Dunia 2022.
Sumber terdekat memaklumkan AFP bahawa terdapat 1,102 kes COVID-19 disahkan dalam kalangan pekerja di projek berkenaan dengan 121 daripadanya adalah kes aktif.
Menurut Doha News, mangsa dipercayai jurutera berusia lingkungan 50an yang tidak memiliki sebarang penyakit kesihatan.
"Menyedihkan apabila pada 11 Jun 2020, jurutera pakar berusia 51 tahun yang bekerja bersama kontraktor Conspel, meninggal dunia kerana menghidap COVID-19 " kata organisasi Qatar yang bertanggungjawab menjadi penganjur Piala Dunia 2022 dalam satu kenyataan.
"Dia bekerja bersama projek Ahli Jawatankuasa Tertinggi Penghantaran dan Legasi sejak Oktober 2019 dan tiada masalah kesihatan. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakannya."
Kewarganegaraannya bagaimanapun tidak didedahkan.
Penganjur melaporkan jangkitan pertama membabitkan tenaga kerjanya adalah pada 15 April dengan lima kes dilaporkan.
Kerja pembinaan tetap diteruskan namun secara perlahan bagi membolehkan virus itu dibendung termasuk mengadakan saringan kesihatan dan penjarakan sosial.
Penganjur juga mengasingkan pekerja berisiko tinggi daripada projek terbabit, mengambil bacaan suhu dua kali sehari dan mengenakan penjarakan sosial di dewan makan serta pengangkutan pekerja bagi meminimumkan penularan wabak itu. - AFP
Sumber: Berita Harian
Kommentare