Setiu: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu sedang menunggu kelulusan untuk menambun pasir dan batu sebagai langkah awal bagi mengatasi masalah hakisan di hadapan kawasan Perkuburan Islam Bari Kecil, di sini.
Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPS Terengganu, Osman Abdullah berkata, pihaknya sudah mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri bagi kerja-kerja membaikpulih hakisan membabitkan sepanjang 400 meter.
Beliau berkata, pihaknya mendapati hakisan kritikal itu bermula di sepanjang kawasan perkuburan Islam yang mengandungi lebih dari 400 kubur dan hampir 120 kubur berada dalam situasi terancam.
"JPS ada memohon cadangan projek menambun pasir dan batu kepada kerajaan negeri untuk tindakan segera bagi menghalang hakisan merebak ke kawasan perkuburan.
"Setakat ini, kita masih menunggu kelulusan daripada kerajaan negeri sebelum kerja-kerja menambun pasir dan batu dapat dilakukan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Osman berkata, pihaknya melalui kerajaan negeri juga mengemukakan cadangan pengawalan hakisan di Bari di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi tujuan membaik pulih pesisiran pantai yang terhakis di sepanjang empat kilometer.
Menurutnya, pelaksanaan projek itu bertujuan menambahbaik, membaiki hakisan pantai serta mengawal hakisan pada masa akan datang.
"Pelaksanaan projek ini akan mengurangkan masalah hakisan pantai yang berlaku di kawasan Perkuburan Islam Bari Kecil yang kini sedang kritikal," katanya.
Menurutnya, faktor semula jadi disebabkan ribut dan ombak yang tinggi serta kenaikan paras air laut dan perubahan cuaca yang ekstrim menjadi penyebab hakisan.
"Selain itu ada juga faktor bukan semula jadi seperti penambakan pantai, perlombongan pasir, pengorekan muara dan pembinaan struktur di kawasan pantai lagi yang mana mengubah keadaan semula jadi pantai," katanya.
Kelmarin, Harian Metro menyiarkan hakisan pantai yang berlaku di Kampung Bari Kecil, Permaisuri sejak lima tahun lalu membimbangkan penduduk.
Sumber: Harian Metro
Comments