top of page

JPS Labuan siap siaga hadapi monsun


PELAKSANAAN Projek Outfall Spiral Pipe adalah langkah untuk mengatasi banjir.

JABATAN Perparitan dan Saliran (JPS) Labuan giat melaksanakan beberapa Projek Outfall Spiral Pipe di kawasan yang dikenal pasti sebagai langkah mengatasi banjir khususnya pada fenomena Monsun Timur Laut dan air laut pasang dalam.


Menurut Pengarah JPS Labuan, Juniaddi Awang Tuah, sebagai persediaan untuk mengatasi fenomena tersebut pihaknya telah melaksanakan enam projek berkenaan termasuk dua projek yang sedang dibina di kawasan muara sungai  di beberapa buah kampung yang terlibat dan dijangka siap pada tahun ini.


Katanya, sebanyak 18 kawasan telah dikenal pasti berpotensi berlakunya banjir termasuk Kampung Batu Manikar, Kampung Pohon Batu, Kampung Sungai Labuan dan Kampung Lubok Temiang.


“Bagi tahun depan, pihak kami merancang untuk menambah beberapa lagi projek ini di kawasan yang dilihat mempunyai risiko dan perancangan itu juga bergantung kepada peruntukan yang diterima oleh JPS.


“Perancangan penambahan itu dilihat berdasarkan keadaan di muara sungai di Labuan ini yang menghadapi masalah tersumbat dan pembinaan outfall spiral pipe ini amat diperlukan.


Dengan pelaksanaan projek ini ia mampu mengurangkan risiko banjir kerana mempunyai sistem saliran yang lebih sistematik,” katanya.


Tambahnya, dengan pelaksanaan projek itu pihaknya menerima maklum balas yang amat baik daripada masyarakat khususnya warga kampung yang terlibat kerana mampu mengurangkan risiko banjir yang teruk khususnya pada fenomena monsun timur laut.


Mengulas lanjut, Juniaddi turut memaklumkan sejumlah RM14 juta telah diperuntukkan kepada JPS Labuan bagi kerja-kerja pembangunan infrastruktur sepanjang tahun ini yang membabitkan penyelenggaraan dan pembersihan perparitan, sungai dan projek yang berkaitan bagi mengatasi masalah banjir di pulau itu.


Sebanyak 69 daripada 81 projek pembangunan pada tahun 2024 telah siap sepenuhnya manakala bagi projek kawalan banjir di Kampung Gersik sedang dilaksanakan menerusi projek pembinaan empangan pintu air dengan nilai anggaran RM8 juta dan dijangka siap pada awal tahun depan.


Katanya, projek pembinaan empangan pintu air itu mampu memberikan manfaat kepada penduduk di Kampung Gersik dan sekitarnya meliputi 18 hektar.


“Projek pintu air ini kami akan membina 10 pam yang mana setiap satu pam itu mampu mengeluarkan air sebanyak 1,000 liter per saat dan apabila projek ini telah siap sudah tentunya akan mengatasi banjir di kawasan ini,” katanya.


Sumber: Wilayah Ku

Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page