top of page

Johor usaha siapkan projek 'sakit'


JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor sedang berusaha menyiapkan baki unit projek perumahan Taman Setia Indah yang terbengkalai sejak 2014.


Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan negeri telah bersetuju melantik Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) sebagai kontraktor penyelamat bagi menyiapkan projek tersebut sehingga Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dikeluarkan.


“Sebanyak 427 unit masih belum disiapkan lagi setakat ini,” katanya.


Menurutnya, projek Taman Setia Indah melibatkan pembinaan 639 unit rumah teres kos sederhana rendah berharga RM110,000 seunit.


“Ia dibina dalam empat fasa dan dikategorikan sebagai projek sakit di bawah seliaan Jabatan Perumahan Negara.


“Sebanyak 212 unit dalam fasa pertama telah siap dibina pada tahun 2017,” katanya.


Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, YMN Properties Sdn Bhd masih dikekalkan statusnya sebagai pemaju bagi memudahkan proses pengeluaran CCC.


“Berdasarkan perkembangan terkini, pihak kontraktor utama projek tersebut iaitu Aceside Sdn Bhd telah menang terhadap tuntutan mereka melalui mahkamah ke atas YMN Properties Sdn Bhd.


“YMN Properties Sdn Bhd telah membuat rayuan dan mahkamah akan mendengar kes rayuan tersebut bulan Februari akan datang,” katanya.


Beliau berkata, keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor bersetuju supaya YMN Properties Sdn Bhd melantik KPRJ sebagai kontraktor penyelamat.


“Dengan itu, ada risiko terhadap KPRJ di atas keputusan mahkamah tersebut, tambahan pula KPRJ akan mendahulukan kos bagi menyiapkan projek tersebut.


“Jalan keluar terbaik adalah pelantikan KPRJ dibuat bersama dengan kerajaan negeri melalui pengurusan Perbadanan Kerajaan Johor (SSI),” katanya.


Justeru itu, beliau berharap pembeli dapat bersabar untuk membolehkan kerajaan negeri membuat tindakan sebagaimana dirancang bagi menyiapkan projek sakit di Taman Setia Indah itu.


“Saya memahami rasa kecewa, kesukaran dan kepayahan yang dihadapi oleh pembeli rumah bila mana hasrat untuk menduduki rumah impian masih belum tercapai.


“Insya-ALLAH kita sama-sama berdoa agar ALLAH memudahkan urusan kita semua dalam usaha menyiapkan 427 unit rumah di Taman Setia Indah ini,” katanya.


Sumber: Sinar Harian


Comments


bottom of page