top of page

Johor terima 80 projek impak tinggi, RM4.5b nilai pelaburan dari Korea Selatan


Forum Perniagaan Johor- Korea 2023
Gambar hiasan: Terdapat beberapa syarikat Petro Kimia yang sudah beroperasi di Johor, termasuk di Pengerang dan Pasir Gudang.

JOHOR BAHRU: Johor menerima pelaburan RM4.5 billion hasil 80 projek berimpak tinggi dari Korea Selatan dalam tempoh 10 tahun.


Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han berkata, pihaknya menyasarkan sehingga empat syarikat berimpak dan berteknologi tinggi bakal melabur di Johor pada tahun ini.


Ting Han yakin dapat memenuhi sasaran itu berdasarkan beberapa usaha padanan syarikat dan hasil lawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke negara itu pada Mac lalu.


"Sehingga hari ini, mengikut data di kawasan Iskandar Malaysia, jumlah pelaburan dari Korea Selatan mencecah RM4.5 billion yang mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.


"Tahun ini kita sasarkan dalam tiga atau empat syarikat untuk melabur di negeri ini. Korea Selatan adalah negara yang berada di kedudukan keempat atau kelima teratas dalam pelaburan.


"Kita yakin dengan usaha ini, kita dapat menarik lebih banyak syarikat dari Korea Selatan untuk datang ke Johor. Setakat ini, terdapat beberapa syarikat Petro Kimia yang sudah beroperasi di Johor, termasuk di Pengerang dan Pasir Gudang.


"Syarikat berteknologi tinggi dan berimpak tinggi ini akan wujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti untuk rakyat Johor,"katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Forum Perniagaan Johor- Korea 2023 yang dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Duta Besar Korea ke Malaysia, Yeo Seung-bae, di sini hari ini.


Forum perniagaan itu turut melibatkan 60 anggota delegasi perniagaan dari Korea Selatan dan Johor untuk padanan perniagaan serta meneroka potensi kerjasama antara kedua-dua pihak.


Jelas Ting Han, fokus kerajaan terhadap pelaburan dari Korea Selatan, membabitkan syarikat berkaitan kimia, petrokimia dan juga pembuatan berikutan kepakaran yang dimiliki mereka.


Sumber: Berita Harian

Comments


bottom of page