ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri sedang berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), untuk membantu mempercepatkan projek membaik pulih paip lama, bagi mengatasi masalah bekalan air terjejas ketika kerja baik pulih paip di Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata buat masa ini, tempoh yang diperlukan untuk melaksanakan kerja-kerja membaik pulih baki 6,000 kilometer (km) paip lama, dijangka mengambil masa sehingga 10 tahun.
"Peruntukan yang kita dapat sebanyak RM280 juta setahun, (namun ia) hanya boleh menggantikan (paip lama) lebih kurang 234km setahun dan apabila kita membuat kiraan kasar, kita memerlukan dalam 10 tahun lagi...nak tunggu 10 tahun ini bukan sekejap," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini pada Khamis. Tambah Mohamad Fazli (BN-Bukit Pasir), beliau telah pun berjumpa wakil SPAN bagi menyatakan permasalahan itu.
"Jadi nanti kita akan periksa apa yang kita boleh (minta) bantu (SPAN), untuk mendapatkan lebih dana untuk mempercepatkan projek ini jalan lebih cepat, mungkin daripada 10 tahun jadi lima tahun," katanya.
Mohamad Fazli berkata secara keseluruhan, Johor mempunyai kira-kira 26,000km paip utama, yang daripada jumlah itu terdapat 6,000km paip lama berusia antara 30 hingga 40 tahun dan sering mengalami kerosakan termasuk mudah pecah ketika kerja-kerja pembaikan, sekali gus menjejaskan bekalan air kepada penduduk sekitar.
Bagaimanapun beliau berkata kerajaan negeri turut mencari langkah jangka pendek iaitu meminta Ranhill SAJ Sdn Bhd, untuk melihat kaedah baharu membaik pulih paip lama yang mengalami kerosakan bagi mengurangkan jumlah pengguna yang terjejas akibat gangguan bekalan air.
"Paip lama sepanjang 20,000km sudah dibaiki dan diperbaharui, namun 6,000km lagi (kerja-kerja baik pulih) belum bermula. Ranhill SAJ sedang usahakannya dan mencari kaedah mengatasi atau mengurangkan paip-paip terjejas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jumlah paip lama yang perlu dibaik pulih bagi memastikan bekalan air untuk rakyat negeri ini tidak terjejas.
Berhubung langkah mengatasi banjir kilat berulang di Lebuhraya Pasir Gudang, Mohamad Fazli berkata pihaknya telah mendapatkan peruntukan daripada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk meninggikan tebing Sungai Rinting dan membina dua pintu air yang telahpun dilaksanakan pada tahun ini.
"Pada masa sama, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Johor sedang membuat kajian berkaitan tebatan banjir di kawasan tersebut serta kajian dan rekabentuk (design) itu dijangka siap pada tahun depan. Jika diluluskan kerja-kerja (baik pulih) boleh mula dilakukan pada suku keempat tahun depan," katanya.
Isnin lepas, media melaporkan hujan lebat berterusan selama dua jam sejak pukul 1 tengah hari mengakibatkan beberapa kawasan termasuk Lebuhraya Pasir Gudang di Pasir Gudang dinaiki air.
Sumber: Astro Awani
Comments