JOHOR BAHRU: Kerajaan Persekutuan disaran membina 10 saliran pembetung bawah Tambak Johor bagi membolehkan pengaliran air dari kedua-dua arah iaitu dari timur dan barat Selat Johor.
EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri, berkata sehingga kini, dua pembetung masih berfungsi manakala lapan lagi sudah terkambus sejak berlakunya projek pembinaan di kawasan berhampiran.
"Kerajaan negeri sudah memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk satu peruntukan bagi membina pembetung. Kita (kerajaan negeri) dah kemukakan permohonan dengan nilai projek berjumlah RM13 juta.
"Harap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan dengan serius permohonan dari Johor kerana dengan adanya pembinaan itu yang dijangka sebanyak 10 lagi (sama ada dibaiki atau tambah baharu), ia mampu mengalirkan air antara timur dan barat.
"Dengan adanya pembinaan yang berukuran garis lintang 1.8 meter, secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti air bagi membolehkan hidupan marin di kawasan ini hidup, selain mengelakkan pencemaran dan mengatasi bau busuk.
"Sebelum ini ada mohon pada Kementerian Kewangan (MoF), kita berharap Unit Perancangan Ekonomi (EPU) mencadangkan atau menyokong permohonan di peringkat Kerajaan Persekutuan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program pemasangan bendera sempena Hari Kebangsaan ke-63 di Tambak Johor, hari ini.
Beliau berkata, selepas peruntukan disalurkan, pihaknya menjangkakan projek terbabit akan bermula pada pertengahan tahun depan.
"Lebih baik dapat buat (projek pembinaan) dalam keadaan yang tidak sesak seperti ini kerana dua pembetung yang masih berfungsi itu ada tapi agak kecil, aliran tidak begitu deras," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sejak pembukaan sempadan Malaysia-Singapura pada 17 Ogos lalu, perkhidmatan menerusi Pengangkutan Awam Johor (PAJ) sudah menjalankan sebanyak 201 trip dengan membawa 3,439 penumpang ke Singapura, manakala 628 penumpang dari Singapura ke Malaysia dengan keseluruhan 4,067 penumpang sehingga ke hari ini.
Katanya, sejak dibuka, jumlah yang masuk dari Singapura ke Johor Bahru adalah sebanyak 1,684 bagi kategori Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan lain-lain, manakala sebanyak 7,159 yang keluar dari Johor Bahru ke Singapura bagi kategori seumpama.
Sumber: Berita Harian
Comments