JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mahu kerajaan pertimbang pembinaan sistem pengangkutan transit aliran ringan (LRT) bagi mengurangkan kesesakan yang semakin teruk di bandar raya ini.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, kesesakan di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini meningkat khususnya selepas projek Sistem Transit Rapid (RTS) bermula.
Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan menaiktaraf sistem pengangkutan awam setempat agar menjadi lebih efisyen sekaligus mengurangkan kesesakan.
“Sudah tiba masanya bandar raya ini dilengkapi dengan kemudahan LRT seperti di Kuala Lumpur atau di Singapura. Mungkin sebelum pembinaan RTS kita tidak melihat keperluan itu, tetapi sekarang tidak lagi.
“Ini kerana apabila RTS siap kelak, kita jangka seramai 10,000 pengguna akan menggunakan perkhidmatan itu setiap jam, jadi terdapat keperluan mendesak untuk ditambah baik pengangkutan awam bagi menyokong RTS yang menghubungkan bandar raya ini dengan Singapura.
“Permintaan ini bukan hanya meliputi kawasan pentadbiran MBJB sahaja, tetapi sebaliknya kawasan Greater Johor Bahru yang turut meliputi Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan juga Majlis Perbandaran Kulai (MPKU),” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Noorazam, pihaknya bimbang sekiranya sistem pengangkutan awam di pusat bandar raya ini tidak ditambah baik segera, kesesakan yang berlaku akan kekal berterusan.
“Johor Bahru unik kerana ia bersempadan dengan Singapura, itu merupakan antara faktor kepada kesesakan jalan raya khususnya pada hujung minggu, selain itu termasuklah pelbagai projek pembinaan yang sedang giat dilaksanakan.
“Namun begitu, MBJB akan berusaha untuk tambah baik perkhidmatan tempat letak kenderaan di lokasi bersesuaian selain turut menyediakan perkhidmatan ‘feeder bus’ bagi memudahkan pengguna,” ujarnya.
Sumber: Kosmo!
Johor Bahru perlukan LRT – MBJB
Comments