top of page

JKR Sarawak serius pantau kontraktor laksana projek infrastruktur: Cassidy


Cassidy bercakap pada sidang media. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sangat serius dalam memantau kontraktor-kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur di negeri ini.


Pengarah JKR Sarawak Dr Cassidy Morris berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan prestasi kerja yang ditunjukkan oleh kontraktor-kontraktor dengan hampir tiada projek sakit direkodkan.


Malah kata Cassidy, terdapat  30 peratus projek yang dilaksanakan oleh JKR mencatatkan kemajuan mendahului jadual dengan projek Jambatan Marudi sebagai salah satu contoh terbaik.


"Kita sangat gembira dengan prestasi projek kita hasil inisiatif terbaik JKR Sarawak dan prestasi ini akan kita teruskan pada tahun 2025.


"Begitu juga dengan projek-projek bernilai di bawah RM50 juta yang dipersetujui atas semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), prestasinya juga bagus," ujarnya.


Beliau berkata demikian pada sidang media pada Program Sepetang Bersama Media anjuran JKR Sarawak di Royal Cruise Kuching di sini, hari ini.


Mengulas mengenai program itu, Cassidy berkata, ia bertujuan memperkukuhkan hubungan kerjasama dengan pihak media di negeri ini.


Cassidy turut berkata, bagi tujuan itu jabatan akan mengadakan lebih banyak penglibatan dengan pihak media pada masa akan datang.


Beliau turut berterima kasih atas sokongan dan kepercayaan Kerajaan Sarawak kepada JKR untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur di negeri ini.


Program itu antara lain juga bagi merapatkan hubungan kerjasama antara media dan warga JKR Sarawak.


Ia turut dihadiri Timbalan-Timbalan Pengarah JKR dan wakil-wakil pengamal media yang berpangkalan di Sarawak.


Comments


bottom of page