Ipoh: Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak mengenal pasti 239 lokasi cerun yang dikategorikan sebagai sangat berisiko tinggi di Perak daripada keseluruhan sebanyak 3,431 lokasi cerun yang dikenal pasti.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air, dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, tiga laluan jalan juga dikategorikan sebagai sangat kritikal di Perak iaitu Jalan Tapah-Cameron Highlands (FT059), Jalan Baling-Gerik, Lebuh Raya Timur-Barat (FT004), dan Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (FT185).
Menurutnya, pecahan kategori lokasi cerun selebihnya yang ada di Perak adalah 211 lokasi berisiko tinggi, sederhana (642), risiko rendah (777), dan 1562 lokasi sangat rendah.
"Bagi Jalan Tapah-Cameron Highlands (FT059) di daerah Batang Padang, 128 cerun dikategorikan sangat berisiko tinggi dengan 59 lokasi berisiko tinggi.
"Manakala bagi laluan Jalan Baling-Gerik (FT004) di Daerah Hulu Perak, terdapat 40 lokasi cerun berisiko sangat tinggi dan 28 berisiko tinggi; manakala bagi Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (FT185) di daerah Kinta, terdapat 26 lokasi berisiko sangat tinggi," katanya.
Katanya, walaupun terdapat laluan dikategorikan sangat berisiko tinggi mengalami kegagalan cerun seperti yang disebutkan, namun tiada keperluan buat masa ini menutup jalan atau laluan terbabit.
"Setakat ini, hasil pemantauan pihak JKR mendapati masih tiada lagi lokasi di Perak yang berpotensi berlaku (tanah runtuh) seperti insiden di Batang Kali," katanya dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Setakat kini, 24 dilaporkan terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor.
Dalam perkembangan sama, Mohammad Nizar berkata, bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya, JKR serta pihak konsesi penyelenggaraan jalan Persekutuan dan jalan Negeri sentiasa menjalankan penyelenggaraan rutin iaitu rondaan terutamanya di beberapa laluan kritikal.
Sumber: Harian Metro
Comments