top of page

JKR Melaka Kenal Pasti 4 Jalan ‘hotspot’ Banjir Kilat


Gambar hiasan: Kejadian banjir yang berlaku di beberapa kawasan Melaka

AYER KEROH 27 November – Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka telah mengenal pasti empat jalan ‘hotspot’ banjir kilat di negeri ini yang akan ditambah baik infrastrukturnya dari semasa ke semasa.


Lokasi itu adalah di persimpangan lampu isyarat berhadapan CIMB Bank Cheng; Lebuh Ayer Keroh berdekatan Stesen Minyak Petronas; Kampung On Lok, Batang Melaka dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang.


Pengarah JKR Melaka, Ir. Mohamad Salzeli Moktar berkata di CIMB Bank Cheng kerap berlaku banjir kilat kerana kawasannya rendah dan struktur binaan longkang yang perlu ditambah baik.


“Apabila hujan lebat, air akan bertakung di kawasan ini dalam masa yang singkat, jadi kita akan fikir bagaimana kaedah selesaikan masalah di kawasan ini.


“Di Lebuh Ayer Keroh dan Kampung On Lok turut menghadapi situasi sama apabila hujan lebat, bagaimanapun untuk dua lokasi ini kita dalam usaha menaikkan aras jalan raya tersebut supaya lebih tinggi.


“Kita sudah membuat sebut harga bagi kerja menaikkan aras jalan ini, cuma ia melibatkan kos yang tinggi kerana perlu mengalih beberapa utiliti yang terdapat di kawasan itu, selain memerlukan kelulusan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.


“Tidak terkecuali DUN Kesidang turut diberikan perhatian serius kerana terdapat longkang di kawasan perumahan yang tersumbat dan tidak boleh diakses ketika hujan lebat,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Gotong-Royong Untuk Persediaan Monsun Timur Laut (MTL) Di Lokasi Kerap Berlaku Banjir Kilat di Lebuh Sungai Udang- Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) di sini, hari ini.


Hadir sama Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Zahari Abd Kalil.


Ir. Mohamad Salzeli berkata, JKR Melaka sentiasa memantau dan memikirkan kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan terutamanya pada musim tengkujuh.


“JKR dari semasa ke semasa akan memantau keadaan ini dan kita dapati punca berlakunya banjir kilat ini juga kerana terdapat premis perniagaan yang membuat struktur binaan di atas longkang tersebut.


“Jadi ia menyukarkan kita kerana tidak boleh mengakses longkang tersebut bagi kerja-kerja pembersihan,” katanya.


Yorumlar


bottom of page