KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) hari ini memulakan siasatan berhubung insiden struktur bangunan kondominium runtuh dalam pembinaan di Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini, semalam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata sepanjang tempoh siasatan itu dijalankan sehingga selesai, Lesen Permit Pengiklanan Pembangunan (APDL) pemaju kondominium itu akan digantung.
“Sehingga siasatan selesai, terlalu awal untuk mengetahui sama ada berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam insiden itu.
“Maklumat awal menyatakan tiada isu membabitkan tanah dan ia sepatutnya siap dalam masa 54 bulan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Festival Seni Bina Kuala Lumpur 2020 (KLAF2020) anjuran Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) di sini, hari ini.
Dalam insiden itu, dua warga Bangladesh dilaporkan terperangkap di tingkat satu selepas lantai tempat letak kenderaan di tingkat enam, runtuh ketika hujan lebat pada jam 3.40 petang.
Mangsa pertama diselamatkan pada jam 5.15 petang semalam, manakala mangsa kedua pada jam 9.40 malam.
Kedua-duanya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
Zuraida berkata, siasatan akan mengambil masa sebulan, namun beliau akan meminta dipercepatkan oleh JKKP.
Katanya, satu mesyuarat penyelarasan mengenai kejadian itu akan diadakan Isnin ini membabitkan kementeriannya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Institut Keselamatan, Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan pemaju projek.
Sementara itu, Zuraida akan membawa isu arkitek tempatan yang tidak diberi peluang terbabit dalam projek pembangunan mega di negara ini ke Kabinet dalam masa terdekat.
Katanya, Malaysia mempunyai ramai arkitek berkebolehan dan mencipta nama di luar negara, namun tidak mendapat peluang di negara sendiri.
“Kerajaan maklum mengenai perkara ini dan saya akan bangkitkan ia kembali supaya keutamaan diberi kepada arkitek tempatan.
“Ada antara mereka yang begitu cemerlang di luar negara seperti di Dubai dan ada yang mendapat tawaran untuk terbabit dalam pembangunan ibu negara Indonesia yang baharu, namun tidak di negara sendiri.
“Ini sudah menimbulkan suasana ‘brain drain’ kerana mereka sebenarnya mencari peluang di tanah air sendiri, maka sudah tiba masanya kita membawa pulang bakat ini,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments