BANDA HILIR 14 November – Jeti Terminal Kapal Pesiar Antarabangsa Melaka (MICT) di Pulau Melaka akan dibina berbentuk L.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jeti berkenaan boleh memuatkan empat buah kapal berlabuh pada satu-satu masa.
Menurut beliau, sekiranya mendapat permintaan tinggi pada masa akan datang, jeti berkenaan boleh ditambah baik dan dinaik taraf kepada bentuk ‘T’ bagi membolehkan lebih banyak kapal berlabuh.
“Buat masa ini ia dapat menampung lebih banyak kapal-kapal berkapasiti lebih besar untuk berlabuh di situ, termasuklah kapal persiar mewah terbesar di dunia yang mampu membawa kira-kira 8,880 penumpang termasuk anak kapal pada satu masa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke tapak Projek MICT Melaka Gateway dan Galeri Projek Melaka Gateway KAJ Development Sdn Bhd di sini hari ini.
Terdahulu, Ab Rauf pada lawatan tersebut turut memaklumkan Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa Melaka (MICT) di Pulau Melaka dijangka akan siap dan beroperasi pada suku tahun ketiga 2026.
Sumber: Melaka Hari Ini
Comments