KOTA KINABALU: Jetama Sdn. Bhd diberi kepercayaan oleh kerajaan negeri untuk melaksanakan projek perintis 'Solar-Powered Nano Filtration Drinking Water System' untuk membantu menyelesaikan isu masalah bekalan air bersih di kawasan terpencil atau dilanda bencana.
Projek yang diinovasikan oleh anak syarikat Sabah Development Berhad (SDB) itu akan dilaksanakan di tiga buah kampung iaitu Kg. Pulau Berhala Sandakan, Kg. Tanjung Batu Sukau dan Kg. Paris, Kinabatangan.
Pengerusi Jetama Water Sdn. Bhd, Liau Fui Fui berkata, projek berkenaan yang dikenali secara komersial sebagai 'Jetama Solar Powered & Mobile Drinking Water System', merupakan sistem air minuman mudah alih berkuasa solar.
Katanya, ia dibangunkan untuk membantu kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu bekalan air minum terutamanya di kawasan terpencil atau yang dilanda bencana.
Menurutnya, kerajaan negeri telah mengamanahkan Jetama melaksanakan projek perintis itu di kawasan-kawasan yang menghadapi masalah bekalan air bersih di negeri ini.
Liau berkata, sistem ini juga menggunakan panel solar bagi menjana tenaga suria sebagai tenaga kepada sistem rawatan air minum mudah alih itu.
"Dengan kelengkapan itu, sistem ini adalah mampan dan mudah alih, menjadikannya sesuai untuk lokasi terpencil yang tidak mempunyai akses kepada tenaga grid," katanya kepada media pada pameran sempena Persidangan Antarabangsa Ekonomi Biru Sabah 2024 (SIBEC 2024) di sini, kelmarin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim telah merasmikan SIBEC 2024. Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Liau berkata, antara faedah-faedah projek berkenaan ialah mesra alam kerana menggunakan sumber tenaga bersih dan boleh diperbaharui serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, selain meminimumkan pelepasan karbon.
"Selain itu, ia juga kos efektif kerana setelah pemasangan, kos operasi hanyalah pada tahap minimum kerana cahaya matahari adalah percuma dan sistem ini juga tidak menggunakan bahan kimia.
"Justeru, ia amat berfaedah di kawasan terpencil yang tidak mempunyai akses kepada elektrik.
"Dari segi daya tahan, melalui penyelenggaran yang betul, panel solar dan penapis nano ini mempunyai jangka hayat panjang dan boleh menyediakan sumber air bersih terawat, berkualiti serta selamat untuk diminum, khususnya di kawasan terpencil yang tidak mempunyai sistem rawatan air atau hanya bergantung kepada bekalan air graviti dan telaga.
"Setiap pemasangan unit ini boleh menampung air bersih kepada 5,000 sehingga 7,500 orang (berdasarkan penggunaan 4L sehingga 6L setiap orang)," katanya.
Beliau berkata, penapis nano merupakan sistem penapisan termaju menggunakan teknologi nano untuk membuang zarah dan bahan cemar daripada air mentah.
"Secara keseluruhannya, ia adalah satu sistem penapisan nano berkuasa solar yang mampu menawarkan penyelesaian yang mampan untuk menyediakan air minuman bersih kepada rakyat Sabah terutamanya di kawasan terpencil dan tidak mempunyai akses elektrik," katanya.
Sumber: Utusan Borneo
Comments