KUALA LUMPUR 5 Jan. - Sukar untuk menerima hakikat apabila tindakan licik kontraktor berprofil tinggi yang dianggap ‘jerung’ membeli syarikat-syarikat kecil sebelum mendapatkan tender kerajaan secara kartel adalah sah di sisi undang-undang.
Pendedahan itu dibuat Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang bimbang dengan kuasa jerung tersebut menafikan hak kontraktor kecil untuk mendapatkan tender kerajaan secara adil.
Menurut Nadzim, pengaruh kontraktor berprofil tinggi itu bukan sahaja digeruni kontraktor kecil, bahkan ada dalam kalangan pegawai kerajaan yang tunduk dan berpakat dengan mereka apabila tender kerajaan dibuka.
“Modus operandinya mudah. Kontraktor berprofil tinggi membeli banyak syarikat kecil sebelum semua syarikat itu membuat permohonan untuk mendapatkan tender A dan sudah tentu harga yang ditawarkan lebih kurang sama.
“Akhirnya, jerung yang mempunyai banyak syarikat kecil tetap dapat tender tersebut. Perkara ini sudah berlaku sejak berkurun lamanya dan kerajaan perlu memperhalusi kembali sistem yang diguna pakai untuk permohonan mendapatkan tender,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan pendedahan Guild of Bumiputra Contractors Wibawa (GBC Wibawa) mengenai isu beberapa kumpulan tidak bertanggungjawab mendapatkan tender secara kartel dan memanipulasi nilai tender berkenaan sekali gus menyebabkan kerajaan rugi apabila pelaksanaan projek dilakukan.
Secara kebetulan, isu tersebut timbul selepas tidak sampai sebulan kisah seorang pemimpin parti politik meminta tender kerajaan melalui laluan politik tanpa ada perasaan malu.
Mengulas lanjut, Nadzim berkata, beliau juga kesal dengan sikap segelintir pegawai kerajaan yang ‘rambang mata’ apabila ditawarkan ganjaran oleh jerung tersebut bagi membolehkan permohonan tender diluluskan.
Katanya, walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengutamakan ketelusan dalam pentadbiran, masih sukar untuk menghentikan gejala tidak sihat itu kerana kebanyakan pegawai kerajaan yang terlibat mempunyai pengalaman luas dan licik menyembunyikan kesalahan mereka.
Sumber: Utusan
Comments