KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor hari ini bersetuju dengan pelaksanaan beberapa inisiatif berkaitan yang membabitkan anggaran kos lebih RM65 juta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu berkata, inisiatif pertama menggariskan tiga pecahan projek membabitkan penggabungan dewan, naik taraf dan pembinaan projek baharu di Kompleks Sukan Abu Bakar (KSAB).
"Ia adalah penggabungan dewan penumpang bas di KSAB, Gelang Patah, Johor, dengan anggaran kos RM25 juta, dan menaik taraf kaunter pemeriksaan lori baharu di Zon Lori Masuk serta Bay Pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) (RM30.647 juta).
"Selain itu, membina tandas baharu untuk orang awam merangkumi setiap satu unit di Terminal Bas Eksport, Terminal Bas Import, Kompleks Lori Eksport dan Terminal Lori Import, dengan anggaran kos RM8.63 juta," katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Fadillah turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM3.83 juta bagi melaksanakan inisiatif Pelan Komunikasi Strategik di kawasan sama.
Dalam pada itu, katanya, kajian semula perjawatan perlu dilakukan bagi mengimbangi beban tugas pegawai berdasarkan trend bilangan pengembara dijangka meningkat hingga 17.2 peratus setiap tahun.
Selain itu, beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan pewujudan 'Single Entry Point' di sempadan Malaysia dan Singapura.
"Cadangan ini akan diperhalusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama kementerian serta agensi lain yang berkaitan, dan diangkat ke mesyuarat Jemaah Menteri," katanya.
Mengenai status penubuhan Agensi Tunggal Kawalan Sempadan dan Pintu Masuk pula, Fadillah berkata, ia dijangka dilaksanakan secara berperingkat mulai awal tahun depan.
Sumber: Berita Harian
Comments