MELAKA - Pemaju induk Melaka Gateway, KAJ Development Sdn Bhd (KAJD) menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan peka terhadap aktiviti pelaburan palsu melibatkan projek mega berkenaan yang mendapat kelulusan untuk diteruskan pembangunannya.
Pengarah Pembangunan Strategik KAJD, Datuk Mircle Yap berkata, baru-baru ini, pihaknya mengesan terdapat individu dan syarikat mendakwa merupakan pemilik projek Melaka Gateway dengan tujuan mendapatkan pelaburan dan pembiayaan bagi meneruskan projek itu.
"Terdapat pihak tidak bertanggungjawab dan menyamar sebagai pemilik Melaka Gateway bagi menjalankan aktiviti pelaburan palsu. KAJD ingin menjelaskan dan mengisytiharkan pemilikannya terhadap projek Melaka Gateway untuk melindungi pelabur dan memastikan pembangunan berterusan projek tersebut.
"Justeru, KAJD sedang mengambil langkah-langkah pencegahan bagi menghentikan penipuan berkenaan dan mengelak sebarang mudarat terhadap pelabur dan projek tersebut selain melindungi keselamatan orang ramai dan integriti projek Melaka Gateway,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, orang ramai yang berdepan dengan tawaran pelaburan mencurigakan melibatkan pembangunan Melaka Gateway daripada pihak lain selain KAJD, diminta melaporkannya di laman sesawang rasmi KAJD di https://melakagateway.com.
Katanya, orang ramai yang berminat melabur bagi projek Melaka Gateway boleh melayari laman sesawang berkenaan atau e-mel ke invest@melakagateway.com.
Melaka Gateway merupakan ekosistem pembangunan pelbagai sektor merangkumi pelancongan, hospitaliti, gaya hidup, pendidikan, penjagaan kesihatan, perumahan dan komersial.
Selain itu, projek mega berkenaan turut meliputi pembangunan Melaka International Cruise Terminal (MICT) yang merupakan jeti persiaran antarabangsa dan menjadi pintu masuk untuk kapal persiaran antarabangsa dan feri ke Melaka.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif KAJD, Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman berkata KAJD melaksanakan beberapa langkah proaktif melibatkan kos yang tinggi namun berkesan dalam usaha mempercepatkan Melaka Gateway antaranya pemasangan 'perforated vertical drains'.
Katanya langkah itu bagi memastikan kerja-kerja tambakan laut yang dijalankan adalah kukuh untuk menampung pembangunan projek mega itu selain mengurangkan masa pembinaan.
Sumber: Sinar Harian
Jangan terpedaya pelaburan palsu berkaitan Melaka Gateway
Comentarios