top of page

Jangan panik, air mencukupi



KAPASITI air Sungai Muda yang menjadi sumber bekalan air bagi selatan Kedah dan Pulau Pinang berada pada tahap terkawal dan mencukupi.


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga Kedah, Datuk Ir Zamri Yusuf berkata, ia berikutan Empangan Beris yang berfungsi mengawal air bagi sungai berkenaan diyakini mampu menampung keperluan air sehingga hujung April depan.


“Ketika ini, Empangan Beris berada pada paras berjaga-jaga iaitu 63 peratus yang diyakini mampu menampung keperluan air Sungai Muda sehingga April depan.


“Faktor hujan yang diterima sejak kebelakangan ini di beberapa kawasan serta pembenihan awan juga mendorong paras air di Sungai Muda berada pada tahap baik,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengadakan lawatan ke Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM) di Sungai Petani, hari ini.


Sebelum ini, media melaporkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendakwa paras air Empangan Muda, Kedah berada pada tahap kritikal dan tidak mampu menyokong paras air Sungai Muda ketika musim kemarau.


Mengulas lanjut, Zamri berkata, ketika ini, Jabatan Pengaliran Saliran (JPS) terpaksa menghentikan pelepasan air dari Empangan Beris ke Sungai Muda berikutan paras air di Ampang Jajar, Kampung Rantau Panjang, Kota Kuala Muda melebihi bacaan biasa sekali gus sudah mencukupi untuk penggunaan semasa.


Katanya, sejak 1 Januari sehingga 13 Februari lalu, sekitar 10,000 liter per saat air dari Empangan Beris dilepaskan bagi menampung Sungai Muda untuk keperluan 700 juta liter air sehari (MLD) bagi loji air Kedah dan 1,100 MLD untuk Pulau Pinang.


“Kerajaan negeri akan mengambil tindakan berterusan bagi mengawal keadaan dengan memastikan sumber air mencukupi.


“Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan akan bermula pada Mac nanti, namun kita mengambil sikap berwaspada sehingga April ini supaya keadaan lebih terkawal.


“Mungkin akan ada sedikit pelepasan air di Empangan Beris, namun ia akan dilakukan pada kadar pelepasan lebih rendah,” katanya.


Beliau turut meminta semua pihak terutama di Pulau Pinang agar tidak panik dengan situasi sumber air ketika ini, namun pengguna di kedua-dua negeri diminta menggunakan air dengan lebih berhemah.


Sumber: Harian Metro


Comments


bottom of page