PROJEK pembinaan Jambatan Palekbang-Penambang dijangka bermula Julai tahun depan dan bakal siap sepenuhnya pada Disember 2023.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pembangunan), Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal berkata, setakat ini projek itu dalam peringkat memuktamadkan jajaran.
"Sekarang di peringkat memuktamadkan jajaran dengan kelulusan daripada pihak kerajaan negeri.
"Pengambilan tanah pula dijangka selesai pada Mei tahun depan dan pembinaan bakal dimulakan Julai selepas itu dengan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebagai peneraju utama," katanya ketika ditemui selepas tinjauan di tapak cadangan projek terbabit di Kota Bharu, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Sr Azami Mohd Nor.
Tengku Mohamed Faziharudean berkata, projek dengan kos RM250 juta daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan itu akan dibina dengan jarak satu kilometer bermula dari Palekbang, Tumpat merentasi Sungai Kelantan hingga ke Penambang, Kota Bharu.
Beliau berkata, pembinaan jambatan itu nanti bakal menyuraikan masalah trafik antara Tumpat dan Kota Bharu yang kini sedang dialami apabila hanya menggunakan laluan di Jambatan Sultan Yahya Petra sahaja.
Katanya, selain itu, ia dilihat sebagai komponen menghubungkan orang ramai dengan beberapa lokasi utama antaranya Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa dan pusat bandar menerusi laluan Tanjong Chat.
"Jajaran dipilih ini adalah pilihan terbaik berbanding pilihan sebelum ini iaitu Kampung Cina yang dilihat mempunyai kepadatan rumah dan pembangunan pesat di situ.
"Jajaran baharu ini dapat mengurangkan sedikit pengambilan balik tanah," katanya.
Sumber: Harian Metro
Comments