
KUCHING: Jambatan Gantung Satok menjadi tumpuan orang ramai apabila diterangi lampu lampu diod pemancar cahaya (LED) warna-warni yang menyerlahkan lagi keunikan reka bentuk jambatan berkenaan.
Dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam, jambatan tersebut bakal menjadi mercu tanda ikonik di bandaraya Kuching selain sebagai tarikan pelancong berdasarkan nilai sejarahnya tersendiri. Hadir sama, Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi.
Menurut kenyataan media Jabatan Kerja Raya (JKR), projek replika jambatan sepanjang 213 meter, lebar tiga meter dan ketinggian menara sepanjang 22 meter itu dibina semula di tapak asal dan mengikut bentuk jambatan yang lama.
“Jambatan berkenaan akan memberi manfaat kepada pejalan kaki dari kawasan Satok ke pasar baharu di Medan Niaga Satok dan sudah dibuka semula kepada umum pada Ogos lalu.
“Malah jambatan warisan tersebut juga telah dinaik taraf baru-baru in dengan penambahan pemasangan lampu LED di sepanjang jambatan dengan mengaplikasikan sentuhan moden kepada mercu bersejarah tersebut,” kata kenyataan JKR.
Menyingkap sejarah jambatan pejalan kaki itu, ia dibina pada era pemerintahan Charles Vyner Brooke pada tahun 1920 dengan anggaran kos AS$52,000 dan siap sepenuhnya pada 1926.
Dalam pada itu, jambatan itu juga pernah menjadi ikon bandaraya Kuching sebelum ia ditutup kepada laluan ramai pada 1992 kerana terlampau usang dan tidak ekonomikal untuk dibaik pulih.
Pada 2004, kabel utama yang menampung jambatan telah putus menyebabkan ia runtuh ke dasar Sungai Sarawak. Bagaimanapun, rancangan pembinaan semula jambatan ikonik itu kemudian telah diumumkan oleh Kerajaan Sarawak pada 2017 dan diseliakan oleh JKR.
Pembinaan bermula pada 19 September 2017 dan siap sepenuhnya pada 26 Mac lalu.
Sumber: Sarawak Voice
Comments