PEKAN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meninjau keadaan Jalan Kuantan-Segamat yang ditutup untuk semua jenis kenderaan bermula 6 Januari hingga 28 Januari berikutan kejadian jalan mendap di Seksyen 102 Jalan Kuantan-Segamat di sini.
Baginda meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau dan mendengar taklimat yang dipersembahkan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Ir. Ts. Hafizah Zakaria.
Hafizah ketika ditemui media berkata, pihak JKR negeri telah mengambil tindakan menyediakan laluan sementara dengan pembinaan sebuah jambatan Bailey yang dijangka siap dalam tempoh tujuh hari.
Katanya, jambatan tersebut merupakan jambatan dua hala sepanjang 30 meter dengan lebar sembilan meter yang telah memulakan pembinaannya hari ini.
“Jambatan Bailey ini telah sampai ke tapak (pembinaan) pada hari ini yang mana kerja-kerja pembinaan telah bermula dan insya Allah akan disiapkan dalam masa tujuh hari bergantung kepada keadaan cuaca.
“Jika cuaca hujan yang sangat teruk, lebat atau berlaku banjir dan sebagainya kerja-kerja pembinaan akan tertangguh seketika dan jika tidak berlaku apa-apa rintangan insya Allah kita menjangkakan jalan sementara menggunakan jambatan Bailey ini boleh disiapkan sepenuhnya dalam tempoh tujuh hari.
“Memandangkan ia jambatan dua hala, jadi gangguan lalu lintas tidak akan terganggu sangat. Ingin saya ingatkan had muatan untuk jambatan Bailey ini adalah untuk kenderaan tidak melebihi 20 tan sahaja,” katanya.
Sementara itu Hafizah memberitahu punca utama mendapan jalan tersebut adalah disebabkan oleh aliran air sungai Temiang yang berada di laluan terbabit.
Sumber: Kosmo!
Jambatan Bailey Jalan Kuantan-Segamat siap dalam tempoh tujuh hari
Comments