KUCHING: Jalan raya yang terjejas akibat projek pembetungan di Kampung Pinang Jawa dan Kampung Laruk Skim di sini akan diturap semula selepas projek tersebut disiapkan hujung bulan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, pihaknya telah memberi tempoh sehingga hujung bulan ini untuk Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak menyiapkan sepenuhnya projek itu.
"Kita hari ini telah menerima taklimat daripada Jabatan Perkhidmatan Pembetungan tentang status projek, tentang cabaran mereka dan langkah selanjutnya.
"Jadi kita telah mencapai beberapa keputusan iaitu laluan yang siap dan hampir siap, kita mohon Jabatan Perkhidmatan Pembetungan menyiapkan keseluruhannya dan kita beri masa sehingga hujung November.
"Apabila siap sepenuhnya, jalan terjejas akan diturap semula untuk memberi keselesaan dan keselamatan kepada pengguna jalan," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat baik pulih jalan rosak akibat projek di Bilik Mesyuarat Masjid At-Taqwa, Kampung Pinang Jawa, Gita di sini hari ini, disusuli lawatan ke tapak projek.
Mengulas lanjut, Fazzrudin berkata ada beberapa laluan yang masih mengalami cabaran dalam pembinaan projek pembetungan tersebut dan pihak jabatan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikannya.
Ujar Fazzrudin lagi berdasarkan peta projek, hampir 90 peratus daripada jalan yang dikenal pasti (terjejas akibat projek pembetung) siap hujung bulan ini, justeru penurapan semula akan dimulakan. Jumlah keseluruhan panjang jalan yang perlu diturap semula susulan pelaksanaan projek pembetungan itu kata Fazzrudin, hanya akan dimaklumkan minggu depan.
Projek pembetungan itu kata Fazzrudin, telah dilaksanakan sejak 2017 namun tidak mengetahui kos dan menyerahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak serta Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk butiran terperinci.
Sumber: Utusan Borneo
Comments