Projek Jalan Matang Baru Kini Berjalan Lancar
Jalan Matang Pernah Dilabel Projek Sakit, Kini Dijangka Siap Lebih Awal. Projek naik taraf Jalan Matang Baru Fasa Dua kini menunjukkan perkembangan positif dengan kemajuan fizikal mencapai 13 peratus, lebih awal daripada jadual asal, menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Projek ini, yang menelan belanja RM54.59 juta, melibatkan pembinaan jalan sepanjang 4.4 kilometer dari Matang Jaya hingga ke simpang Jalan Batu Kawa-Matang, dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026.
Projek Jalan Matang Baru Kini Kembali Di Landasan
“Seperti yang saya nyatakan, kemajuan projek ini sudah 13 peratus lebih awal daripada jadual, dan saya optimis kadar kemajuan ini akan terus meningkat kepada 20 hingga 30 peratus dalam masa terdekat. Lokasi ini amat penting kerana kepadatan penduduknya yang tinggi,” kata Uggah semasa lawatan kerja ke tapak projek berkenaan pada Khamis.
Menurut beliau, jalan tersebut akan dinaik taraf menjadi jalan raya berkembar dengan reka bentuk yang mematuhi standard Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, JKR Sarawak, dan kontraktor atas keprihatinan terhadap keperluan penduduk Matang.
“Kita semua maklum cabaran menaik taraf jalan ini. Saya sering memaklumkan kepada YB Menteri dan YB Timbalan Menteri bahawa jalan ini amat sesak dengan lebih 10,000 pengguna setiap hari. Jadi, pembinaan ini amat diperlukan dan harus disiapkan dengan segera,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi perkembangan terkini, di mana dua kilometer pertama jalan tersebut dijangka siap menjelang Disember tahun ini, manakala proses menaik taraf jalan bersebelahan juga sedang giat dijalankan.
Untuk makluman, projek ini sebelum ini menghadapi kelewatan apabila kontraktor asal gagal menyiapkannya pada penghujung 2022. Bagaimanapun, kontraktor baharu telah mengambil alih sebagai kontraktor penyelamat, dan di bawah pengurusan baharu, projek ini kini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026.
Sumber: I Love Borneo
Comments