KUALA SELANGOR - Kira-kira ratusan kenderaan dilaporkan kerap terbabas ke dalam parit setiap kali melalui laluan sempit di Jalan Akob Bukit Kerayong, Jeram di sini sejak lima tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, masalah itu sudah lama dihadapi pengguna jalan raya terutama penduduk berhampiran yang menggunakan laluan tersebut.
Menurut beliau, keadaan itu berpunca apabila laluan sempit sepanjang 10 meter itu tidak mempunyai pengadang di kanan dan kiri bahu jalan.
"Saya difahamkan dulu memang ada pengadang jalan, tetapi lama kelamaan kemudahan itu semakin usang dan runtuh," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.
Harrison berkata, laluan sempit itu sering digunakan kenderaan berat yang menggunakan jalan itu ke tapak pembuangan sampah berhampiran.
"Saya difahamkan isu ini telah berlarutan sekian lama dan masih belum ditangani hingga mengakibatkan ratusan pelbagai jenis kenderaan pernah terperosok dalam parit tersebut.
"Bagi penyelesaian jangka masa pendek, saya mencadangkan agar laluan itu dipasang pengadang jalan dan papan tanda keselamatan dari kedua-dua arah supaya pengguna tidak memandu laju.
"Bagi langkah jangka masa panjang, kita berharap laluan itu dinaik taraf dan dilebarkan pada masa akan datang," jelas beliau.
Selain itu, Harrison memberitahu, penduduk juga meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) membina bonggol di jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram sebagai langkah mengurangkan kemalangan jalan raya.
Katanya, terdapat banyak kenderaan berat melalui laluan itu dan berisiko berlaku kemalangan melibatkan murid sekolah.
"Kita minta supaya JKR membina bonggol di laluan lima kilometer berhampiran sekolah ini kerana kenderaan sering dipandu laju dan bimbang berlaku kemalangan lebih-lebih lagi melibatkan murid sekolah," tambahnya.
Sehubungan itu, katanya, beliau akan bertemu dengan JKR Daerah Kuala Selangor untuk membincangkan dua permasalahan tersebut pada Isnin depan.
"Kita berharap ada jalan penyelesaian dapat diambil bagi memastikan isu setempat seperti ini diambil tindakan segera," ujarnya.
Sumber: Sinar Harian
Jalan Akob Bukit Kerayong sempit, banyak kenderaan masuk parit - Harrison
Comments