top of page

Jajaran ECRL di Terengganu tidak berubah - Daim


DR. AHMAD Samsuri Mokhtar (kiri) bersalaman dengan Daim Zainuddin sejurus selesai Bicara Darul Iman di Wisma Darul Iman hari ini. - UTUSAN ONLINE/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU 14 April - Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin mengesahkan jajaran Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) di Terengganu dikekalkan tanpa sebarang perubahan.


Daim berkata, tiada sebab untuk rakyat negeri ini gusar kerana pelaksanaan projek tersebut diteruskan sebagaimana pelan asal sebelum ini dengan merangkumi stesen penumpang dan kargo serta kedua-duanya.


"Ada stesen penumpang, kargo serta kedua-duanya saya tak ingat semua (stesen) itu tetapi tidak ada perubahan.


"Untuk ke Mentakab dari Kelantan memang kena lalu Terengganu, takkan nak melompat (ke Mentakab)," katanya kepada pemberita selepas program Bicara Darul Iman di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman di sini hari ini.


Yang hadir sama, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan exco Kerajaan negeri.


Ketika berucap dalam program itu, Daim yang mengetuai rundingan dengan China berkaitan ECRL menjelaskan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengetahui kalangan masyarakat pantai Timur termasuk Terengganu menunjukkan minat yang tinggi agar ECRL diteruskan bahkan, perkembangan terkini mengenai (penerusan) projek tersebut turut disambut baik rakyat dengan kegembiraan.


"Jumaat lepas saya berada di Beijing bagi menandatangani kontrak tambahan untuk projek ECRL.


"Saya juga ada baca orang kata saya tinggalkan Terengganu, ECRL itu maksudnya Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur jadi, kalau Terengganu tidak dimasukkan, bukan pantai Timur lah," katanya.


Kerajaan PH mengumumkan projek ECRL akan diteruskan dengan kos pembinaan untuk fasa 1 dan 2 ECRL kini telah dikurangkan kepada RM44 bilion, satu pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.


Daim menjelaskan, menerusi rundingan baharu itu penyertaan kontraktor tempatan turut meningkat kepada 40 peratus daripada keseluruhan kerja berbanding 30 peratus sebelum ini.


"Selain itu, industri sampingan seperti inap desa, makanan, pengangkutan dan lain-lain pastinya akan berkembang. Malah, golongan usahawan baik yang besar atau kecil akan terdedah kepada lebih banyak peluang.


"Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah, sumbangan projek ini akan menjadi ujian baik buat usahawan untuk membuktikan yang mereka berkelayakan dalam memenuhi permintaan dan persaingan," katanya.



21 views

Comments


bottom of page