top of page

Jajaran baharu jalan sempadan Bukit Kayu Hitam akan dibina


Jajaran baharu jalan sempadan Bukit Kayu Hitam akan dibina
Gambar hiasan

Jajaran baharu jalan sempadan Bukit Kayu Hitam akan dibina

BUKIT KAYU HITAM: Projek jajaran jalan menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand akan direalisasikan dalam jangka masa terdekat.


Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata jaringan jalan penghubung itu terdiri daripada satu jalan utama enam lorong dua hala (K3-3) sepanjang 900 meter dengan piawaian U5 dan Jalan Khidmat sepanjang 300 meter.


Jelasnya, perkara itu dicapai hasil lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke sempadan kedua-dua negara atas jemputan rasmi Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin semalam.


"Kerajaan Malaysia dan Thailand telah bersetuju secara dasarnya berhubung jajaran reka bentuk dan isu teknikal yang berkaitan agar projek ini dapat dilaksanakan bagi memastikan tahap kesalinghubungan antara kedua-dua negara dapat ditingkatkan.


"Kementerian Kerja Raya yakin dengan terbinanya jajaran baharu ini, keselesaan dan keselamatan pengguna dapat ditingkatkan selaras dengan aspirasi Kempen MyJalan.


"Pada masa sama, jalan baharu ini dijangka dapat meningkatkan kegiatan ekonomi kedua-dua negara," katanya dalam kenyataan hari ini.


Semalam, Nanta turut mengiringi Anwar dalam lawatan kerja sehari membabitkan lawatan ke Kompleks CIQ Sadao dan ICQS Bukit Kayu Hitam; menghadiri mesyuarat dua hala serta meninjau tapak titik pertemuan projek jajaran jalan berkenaan.


Dalam pertemuan itu, Anwar memaklumkan Malaysia dan Thailand bersetuju memuktamadkan rundingan mengenai isu berbangkit melibatkan sempadan kedua negara dalam tempoh dua minggu.


Ia penting untuk menjadikan kawasan di utara semenanjung dan selatan Thailand sebagai kawasan pertumbuhan, pembangunan dan kegiatan ekonomi yang memanfaatkan rakyat kedua-dua negara.


Sumber: Berita Harian


Jajaran baharu jalan sempadan Bukit Kayu Hitam akan dibina

Comments


bottom of page