SEREMBAN: Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menekankan pendekatan kemahiran perlu jadi pilihan utama pelajar yang ingin melanjutkan pengajian bagi melahirkan tenaga kerja mahir tempatan.
Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran, berkata ketika ini jumlah tenaga kerja mahir hanya sebanyak 28 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 35 peratus menjelang 2020.
Katanya, peratusan rendah itu dipercayai disebabkan ibu bapa yang tidak membenarkan anak mereka menyertai bidang kemahiran kerana bimbang tidak menjamin masa depan.
“Di negara maju seperti Jerman dan Jepun, ibu bapa sendiri menggalakkan anak-anak mereka menyertai bidang kemahiran kerana mereka tahu kebaikannya.
“Jadi, penting untuk ibu bapa menyedari bahawa di negara kita ketika ini, bidang kemahiran menjamin masa depan, malah ketika masih belajar sudah ada pekerjaan menunggu dengan 94 peratus berjaya mendapat pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Hari Bersama Rakyat di Pasar Baru Rantau di sini, hari ini.
Tambah beliau, hanya satu hingga lima peratus pelajar bukan Bumiputera menyambung pengajian dalam bidang TVET di negara ini iaitu kira-kira satu peratus pelajar Cina dan lima peratus pelajar India.
Kulasegaran berkata antara usaha kementerian dalam memastikan pelajar memilih TVET adalah dengan memendekkan tempoh kursus bermula dari enam minggu hingga enam bulan saja berbanding sehingga dua tahun sebelum ini.
“Selepas itu, mereka sudah boleh mendapatkan pekerjaan, tetapi jika ingin sambung pelajaran ke peringkat universiti pun tiada masalah, malah kita turut menggalakkan anak Orang Asli menyertai bidang ini dengan memberi mereka sedikit kelonggaran,” katanya,
Dalam perkembangan lain, Kulasegaran berkata Kementerian Sumber Manusia yang beribu pejabat di Putrajaya akan mengadakan Hari Bertemu Pelanggan setiap Selasa bermula jam 8 pagi hingga 10 pagi, yang bukan saja dihadiri ketua jabatan, malah turut disertai beliau sendiri.
Sumber: Berita Harian
Comments