KUALA LUMPUR 29 Okt - IOI Properties Group Bhd (IOIPG) melancarkan pelan induk IOI Rio City, sebuah pembangunan bersepadu seluas 40.46 hektar yang bernilai RM12 bilion dalam tempoh 12 tahun.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Teh Chin Guan berkata, pembangunan itu merupakan tanah utama terakhir yang dimiliki di Bandar Puteri Puchong, bertujuan untuk mengubah Rio City menjadi 'kota dalam kota' dengan standard tinggi yang serupa dengan konsep pembangunan mereka di Singapura yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan landskap.
Katanya, komponen utama dalam pembangunan tersebut adalah pusat membeli-belah yang dikenali sebagai IOI Mall Rio yang mempunyai kawasan sewaan seluas sejuta kaki persegi dengan sebuah pusat konvensyen dan kompleks sukan.
"IOI Mall Rio meneruskan rekod kejayaan portfolio runcit kami yang dinamik dengan mercu tanda seperti IOI City Mall dan IOI Mall Puchong," katanya pada Selasa semasa pameran IOI Rio City.
Firma seni bina dan perancangan berpangkalan di AS, Arcadis, akan merancang pembangunan berkenaan dengan fokus kepada komuniti serta penyelesaian hidup yang mampan yang akan merangkumi pengecas kenderaan elektrik (EV), panel solar dan pengumpulan air hujan.
IOIPG pada masa sama komited sepenuhnya untuk menangani kebimbangan penduduk dan pemandu, kerana ia menyumbang kepada projek mitigasi banjir yang sedang dijalankan oleh kerajaan di sepanjang Lebuhraya Damansara Puchong, yang dijadualkan siap pada bulan Disember 2024 dan telah memastikan bahawa seluruh kawasan Bandar Puteri berada di tanah tinggi.
Pengurus Besar Kanan IOIPG, Chung Nyuk Kiong pula berkata, infrastruktur yang dirancang dengan baik dan pelaksanaan pembangunan bersepadu yang menyeluruh adalah kunci kepada kehidupan mampan di IOI Rio City.
"Pengintegrasian sistematik kemudahan, perkhidmatan, keperluan pengangkutan dan ruang awam yang penting akan direka untuk menyokong pengembangan ekonomi yang dijangkakan di kawasan ini serta mencipta pelaburan yang menarik untuk pemaju, penduduk dan pelabur berpotensi,” katanya.
IOIPG juga akan membangunkan hampir 1,600 unit kondominium gaya hidup, kedai runcit kejiranan dan rumah kediaman dalam pembangunan itu dalam tempoh lima tahun akan datang.
Sebagai pelengkap kepada pusat membeli-belah, pelan induk itu akan merangkumi air pancut dan ruang awam mesra haiwan peliharaan, direka sebagai pusat komuniti untuk mengumpulkan orang ramai.
Selain itu, Taman Bandar Puteri seluas 4.42 hektar yang dibina, turut menempatkan lebih 89 spesies flora dan 135 spesies fauna, menjadikannya lokasi menarik untuk pengamatan alam buat penduduk.
Sumber: Dagang News
Comments