JOHOR BAHRU, 1 Dis (Bernama) -- Intervensi berterusan pasukan petugas khas akan terus dipergiatkan di bawah Kerajaan MADANI bagi membolehkan pembeli terlibat dengan projek perumahan swasta yang sakit, lewat dan terbengkalai dapat dibantu sebaik mungkin.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata pemantauan secara berterusan bagi menangani isu-isu projek perumahan merupakan agenda tetap pasukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Beliau berkata statistik menunjukkan terdapat 212 projek perumahan swasta lewat, 382 (projek sakit) dan 113 (berstatus terbengkalai) setakat 31 Okt lepas.
“Terdapat sedikit peningkatan dalam projek sakit berbanding pelaporan pada 30 Sept lepas iaitu daripada 379 kepada 382 projek, namun berlaku penurunan ketara bagi projek lewat iaitu daripada 303 kepada 212 projek sahaja, setakat Oktober lepas.
“Selain itu, satu projek berjaya dikeluarkan daripada senarai namun terdapat satu lagi projek telah diisytiharkan sebagai terbengkalai pada Oktober lepas, dan menyebabkan bilangan projek terbengkalai kekal kepada 113 projek,” katanya dalam kenyataan, Sabtu.
Aiman Athirah berkata kesemua projek perumahan swasta lewat, projek sakit dan terbengkalai yang terkini membawa nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM113.25 bilion.
Beliau berkata sejumlah 37 projek perumahan swasta sakit dan lewat berjaya memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), manakala satu lagi projek kembali berstatus lancar setakat Oktober lepas.
“Nilai GDV bagi 38 projek perumahan swasta yang berjaya ini adalah RM1.40 bilion.
“Selain itu, kejayaan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) pada bulan ini juga adalah pengeluaran satu lagi projek yang sepatutnya disiapkan pada tahun 2012 iaitu projek Taman Desa Anjung Putra, Sepang, Selangor,” katanya.
Beliau berkata pemulihan projek yang dilaksanakan oleh pemaju asal iaitu Amanah Raya Sdn Bhd dengan mediasi dan libat urus yang dilaksanakan TFST berjaya menamatkan penantian pembeli yang menunggu untuk menerima rumah masing-masing selama 12 tahun.
“Kerjasama pihak-pihak berkepentingan terbukti telah membuahkan hasil yang baik dan memberi manfaat kepada pembeli terlibat,” katanya.
Terdahulu, Aiman Athirah turun padang melawat projek Vista Tiara di sini yang dimajukan oleh MB World Properties Sdn Bhd dengan pembinaan jenis Pangsapuri Servis 33 hingga 43 tingkat yang mengandungi tiga Parcel melibatkan lapan blok bangunan, merangkumi 2,003 unit.
“Projek ini adalah sebahagian daripada projek asal ‘Jade Palace’ yang dibangunkan oleh Danga Jed Development Malaysia Sdn Bhd dan telah tertangguh kesan daripada pandemik COVID-19.
“Justeru, kita berharap agar projek ini dapat disiapkan sehingga penyerahan milikan kosong kepada pembeli dapat dibuat dalam tempoh yang telah ditetapkan iaitu pada suku ketiga 2027,” katanya.
Sumber: Bernama
Comments