top of page

Insentif bawa balik pekerja Malaysia berkemahiran tinggi sedang dimuktamad


Tengku Zafrul pada sidang media mengenai NSS di Putrajaya, hari ini - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang memuktamadkan beberapa insentif untuk membawa balik bakat tempatan berkemahiran tinggi dari luar negara.


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata rangka insentif yang dalam pembikinan itu akan dilaksanakan bagi menangani kekurangan tenaga kerja di Malaysia.


"Kita lihat jurutera Malaysia yang berkemahiran tinggi sedang 'diburu' oleh peserta global. Ia bukan sahaja membabitkan industri semikonduktor yang menghadapi kekurangan bakat, tetapi industri lain juga.


"Kerajaan perlu memastikan kita terus menarik rakyat Malaysia untuk tinggal di negara ini, mungkin dengan menawarkan gaji yang lebih menarik.


"Syarikat mesti memainkan peranan dalam perkara ini, kerana akhirnya, ia adalah fungsi penawaran dan permintaan," katanya pada taklimat media mengenai Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) di sini, hari ini.


Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga meletakkan sasaran untuk melatih 60,000 jurutera tempatan berkemahiran tinggi dalam industri semikonduktor, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.


"Cabaran untuk kita bukan hanya dalam memastikan negara memiliki jurutera berkemahiran tinggi yang mencukupi tetapi juga untuk memastikan bilangan pekerja terus meningkat.


"Apa yang diperlukan adalah kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta, contohnya, universiti, institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta badan pendidikan lain, untuk membantu kerajaan mencapai sasaran NSS," katanya.



Comments


bottom of page