KUALA LUMPUR: Inisiatif kerajaan untuk menangani masalah hartanah tidak terjual dan menggalakkan pemilikan rumah disambut baik dan disokong oleh banyak pihak, namun sesetengahnya berpendapat kebanyakan rumah masih kekal di luar kemampuan, menurut pemerhati pasaran.
Misalnya, pelancaran dana RM1 bilion untuk rumah mampu milik bagi membantu pembeli rumah daripada kumpulan berpendapatan rendah di seluruh negara amat dialu-alukan, namun sesetengah pihak mengharapkan ia memberi impak minimal dalam membantu pemilikan rumah.
Kenanga Reseach dalam notanya baru-baru ini berkata usaha itu sepatutnya memberi impak minimal sehingga sifar ke atas rumah yang dibina oleh pemaju perumahan swasta.
Dengan pelancaran rasmi dana RM1 bilion oleh Bank Negara Malaysia (BNM), pembeli rumah pertama dijangka menikmati pengurangan sehingga 23 peratus dalam komitmen bulanan berbanding skim pembiayaan sedia ada ditawarkan di pasaran.
"Bagaimanapun, kami berpendapat skim pembiayaan lebih rendah sepatutnya memberi impak minimal sehingga sifar terhadap pembangunan swasta oleh pemaju senaraian dengan mengambil kira kebanyakan produk mereka berharga di atas RM150,000," katanya.
Tahun lepas, BNM dalam laporannya menyatakan Malaysia berdepan kekurangan rumah mampu milik untuk orang ramai dan data standard antarabangsa menunjukkan rumah-rumah pada 2016 adalah "amat di luar kemampuan".
Bank pusat menganggarkan harga maksimum rumah mampu milik adalah RM282,000, berdasarkan pendekatan kos bebanan perumahan, tetapi median harga rumah sebenarnya adalah RM313,000.
Menurut Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, unit kediaman yang sudah siap dan tidak terjual meningkat kepada 30,115 unit setakat 30 Sept, 2018, iaitu naik sebanyak 48.35 peratus daripada 20,304 unit pada tahun lepas.
Nilai keseluruhannya RM19.54 bilion, meningkat 56.44 peratus daripada RM12.49 bilion pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, jika apartmen perkhidmatan dan pejabat kecil pejabat rumah dimasukkan, hartanah tidak terjual akan mencecah 40,916 unit bernilai RM27.38 bilion.
Sementara itu, Pengurus Negara PropertyGuru Sheldon Fernandez berkata terlebih bekalan dalam pasaran hartanah lebih tertumpu pada rumah lebih mahal, sama ada rumah bertanah atau bangunan tinggi, walaupun lebih tertumpu pada kondominium dan apartmen.
Beliau berkata soal kemampuan kekal menjadi masalah besar dan berdasarkan kaji selidik, 92 peratus rakyat Malaysia mahu memiliki rumah sendiri.
"Dengan itu, Dana BNM untuk rumah mampu milik hanya menawarkan penyelesaian bagi rumah berharga sekitar RM150,000. Bagaimanapun, menurut penyelidikan PropertyGuru, ramai yang mencari rumah di bawah harga RM300,000," katanya.
Menurut Indeks Pasaran PropertyGuru, Fernandez berkata pasaran berada dalam situasi terlebih bekalan di kawasan utama negeri kerana harga rumah yang baru dilancarkan tidak sepadan dengan tahap pendapatan orang ramai.
"Isu tiada kenaikan gaji berbanding harga hartanah yang terus meningkat merupakan perkara serius dan memerlukan penyelesaian ekonomi makro," katanya.
Indeks Pasaran PropertyGuru bagi 2018 turut menunjukkan berlaku terlebih bekalan dalam pasaran dengan harga permintaan terus mencatatkan penurunan sebanyak 2.3 peratus tahun ke tahun.
"Kami sentiasa menekankan bahawa kadar faedah lebih rendah akan dapat meningkatkan keupayaan pembiayaan dan pembayaran balik rakyat Malaysia, dan adalah sesuatu yang amat baik untuk melihat ia diterjemahkan dalam dana itu pada 3.5 peratus setahun.
"Kami sedang menunggu untuk melihat lebih banyak inisiatif strategik daripada kerajaan dalam perkara ini, dan kami menyokong inisiatif kerajaan dari segi swasta dan awam perlu saling bekerjasama untuk menangani isu kemampuan di Malaysia," katanya. BERNAMA
Sumber: AstroAwani
Comments