top of page

Inisiatif Fast 8 Bakal Tarik Lebih Banyak Pelaburan Asing Ke Pahang


Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato' Sri Mohamad Najib ketika Majlis Masuk Tapak Projek Rintis Pembinaan Pantas Kuantan bertempat di Galeri MCKIP, di sini hari ini.

KUANTAN, 28 OKTOBER 2024 : Inisiatif inovatif seperti program Fast 8 (F8) yang mempercepatkan tempoh kelulusan permit sesebuah projek berimpak tinggi dari 60 hari kepada tujuh hari bakal menarik lebih banyak pelaburan asing ke negeri ini.


Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, kemasukan pelabur asing ke negeri ini akan memberi impak ekonomi yang besar terutama sekali dari segi memberi peluang pekerjaan.


Katanya, projek pembinaan kilang Maxtrek Tyre Sdn Bhd yang merupakan projek rintis Projek Pantas Kuantan melibatkan pelaburan bernilai RM1.33 bilion dijangka akan membuka peluang pekerjaan kepada 700 orang.


“Saya rasa projek ini boleh menjadi ‘buah mulut’ antara komuniti pelabur, yang mana mereka pun akan cerita benda yang baik untuk negeri Pahang. Mereka akan cakap negeri Pahang ini mesra pelabur.. Pahang ini cepat urusannya sebagaimana mereka bercakap mengenai Kulim.


“Kulim sekarang menjadi bualan mulut antara komuniti pelabur kerana usaha-usaha mereka mempermudahkan urusan pelabur dengan baik sehingga mereka mendapat pelaburan dengan angka yang tinggi,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Masuk Tapak Projek Rintis Pembinaan Pantas Kuantan bertempat di Galeri MCKIP, di sini hari ini.


Majlis turut dihadiri Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Pahang, Puan Dr Noor Aishah Haji Hassan dan wakil Maxtrek Tyre Manufacturing Malaysia Sdn Bhd, Encik Alan Zheng Kun.


Projek pembinaan kilang Maxtrek Tyre merupakan sebahagian daripada inisiatif F8 yang diperkenalkan oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dengan sokongan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).


“Inisiatif ini merupakan bukti komitmen MBK terhadap pembangunan pesat Kuantan. Kalau nak tarik pelabur, kita kena berusaha sehabis baik, sedaya upaya untuk mempermudahkan urusan mereka. Benda yang kita boleh cepatkan.. kita lipatgandakan usaha tersebut untuk kita cepatkan proses, cepatkan urusan.


“Kalau berjaya, kita akan perkenalkan kepada projek lain. Projek Maxtrek Tyre ini akan menjadi penanda araslah. Akan datang, akan ada lagi kelulusan untuk projek berimpak besar seperti ini,” ujarnya.


Tambahnya lagi, pembinaan kilang tayar berkenaan merupakan kilang tayar berskala besar pertama negeri ini dan Kuantan khususnya di mana selain memberi peluang pekerjaan, ia juga akan memberi limpahan ekonomi kepada pembekal tempatan seperti pengusaha industri kecil sederhana (IKS) yang boleh bekalkan bahan kepada kilang berkenaan.


“Sebagai contoh juga, pekebun kecil getah pun akan menerima limpahan tersebut. Mereka juga akan mengambil getah dari pihak tempatan,” katanya memaklukan pembinaan kilang tayar berkenaan merupakan yang pertama berskala besar di Pahang.


Sumber: Pahang Media

Comments


bottom of page