SHAH ALAM, 19 NOV: Syarikat penyelenggara jalan negeri, Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) menampal 28,290 jalan berlubang antara Januari hingga 31 Oktober lalu.
Infrasel memaklumkan 276 aduan kerosakan jalan raya diterima dalam tempoh sama berbanding 156 aduan (2023), 194 aduan (2022) dan 105 aduan (2021).
Mengikut perkongsian data di Facebook, secara keseluruhan agensi itu menampal 120,608 jalan berlubang sejak 2021 hingga Oktober 2024.
Daerah Kuala Selangor mencatat 33,131 tampalan, diikuti Klang (18,237), Sabak Bernam (15,982), Petaling (14,672), Kuala Langat (14,038), Hulu Langat (9,225), Sepang (8,926), Gombak (4,571) dan Hulu Selangor (1,826).
“Infrasel bersama Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor akan terus berusaha memastikan kualiti infrastruktur jalan raya berada pada tahap terbaik demi keselamatan dan keselesaan pengguna,” ujarnya.
Infrasel menggalakkan orang ramai terus membuat aduan dengan memuat naik ciapan di X.
Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata sejumlah RM20 juta diperuntuk untuk melaksanakan Projek Turapan Mega. Kerja pembaikan melibatkan semua laluan termasuk jalan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kampung.
Sumber: Selangor Kini
Comments