KUALA LUMPUR: Industronics Bhd (Itronic) memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang tidak mengikat dengan Malaysian NGV Bhd (MNGV) bagi membentuk konsortium untuk membina-mengendalikan-memiliki projek Kedah Aerotropolis sebagai pelabur dan pemaju induk.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Itronic, yang terbabit terutamanya dalam reka bentuk, pembuatan dan pemasangan elektronik dan produk berkaitan teknologi berkata cadangan pembangunan itu akan dibina di atas 3,704.89 hektar (9,154.98 ekar) tanah kerajaan negeri Kedah.
Ia akan terdiri daripada bandar lapangan terbang, termasuk terminal kargo dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, taman perniagaan dan hab Logistik, Aeroangkasa & Pembuatan Sidam (SLAM).
Projek yang dicadangkan itu akan dibina secara berperingkat dengan fasa pertama adalah bandar lapangan terbang yang disasarkan siap dalam tempoh 18 bulan.
Itronic berkata syarikat itu akan mencari dana berjumlah 3.3 bilion euro dengan rakan kongsi strategiknya Bluemount Financial Group Ltd (BFGL) dan bakal pelabur lain untuk pembangunan yang dicadangkan itu.
Ia juga tidak akan mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan sesaham kumpulan itu, katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments