JAKARTA: Kerajaan Indonesia umum tangguh hasrat laksana projek pemindahan ibu kota ke kepulauan Borneo susulan penularan wabak COVID-19 di negara itu.
Menteri Perancangan, Suharso Monoarfa berkata projek pembangunan yang dianggarkan menelan belanja AS$33 bilion itu tetap akan diteruskan kerana ia bakal memberi ‘sinar baharu’ buat Indonesia biarpun republik itu terkesan teruk akibat wabak berkenaan.
“Kami akan memberikan tumpuan untuk memulihkan ekonomi dan mengatasi pandemik ini.
“Apabila situasi mulai pulih, kami akan merencana semula rancangan itu, dengan penjanaan semula modal,” kata Suharso kepada Reuters dalam satu temu bual secara dalam talian pada Selasa.
Menurut Suharso, beliau mengakui terdapat beberapa halangan untuk melaksanakan projek itu ketika ini.
Katanya, kerja-kerja pemecahan tanah terpaksa ditangguhkan sehingga tahun 2022 atau 2023 kerana para pemimpin republik itu turut memberikan tumpuan dalam mencari serta mengedarkan vaksin COVID-19 untuk kesemua populasinya yang dianggarkan seramai hampir 270 juta.
Selain itu, Suharso juga turut memberitahu bahawa projek pembinaan istana negara dan beberapa bangunan lain, termasuk kerja-kerja penambahbaikan lapangan terbang, pelabuhan dan jalan raya di kawasan pedalaman turut diperuntukkan menjelang tahun depan.
Bagaimanapun, kata Suharso, kerajaannya akan mengerahkan tenaga kerjanya ke kawasan baharu itu (Borneo) pada tahun 2024.
Terdahulu, Presiden Joko Widodo mengumumkan hasratnya untuk memindahkan ibu kota Indonesia ke kepulauan Borneo sebagai jalan penyelesaian kepada masalah trafik yang semakin meningkat, banjir yang sering berlaku serta pemendapan tanah di kota Jakarta.
Sumber: Astro Awani
Comentarios