top of page

India sasar jual bekalan elektrik di Asia Tenggara


India sasar jual bekalan elektrik di Asia Tenggara
Gambar hiasan

India sasar jual bekalan elektrik di Asia Tenggara

BAMBOLIM: India mempertimbang untuk menjual tenaga elektrik kepada negara Asia Tenggara menerusi Myanmar dan Thailand.


Perkara itu disahkan lima sumber yang arif mengenai perkara itu, dengan langkah berkenaan membolehkan New Delhi menggunakan kapasiti tenaga boleh diperbaharui bagi memperkukuh hubungan diplomatik serantau.


Sambungan grid yang difahamkan mengambil masa sekurang-kurangnya empat tahun untuk disiapkan, adalah susulan usaha India memulakan perdagangan tenaga dengan negara Asia Barat seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE).


Sumber yang memaklumkannya enggan identiti mereka didedahkan kerana perancangan itu belum diumumkan.


Kementerian Tenaga Persekutuan India pula tidak memberi maklum balas segera ketika diminta mengulas perkara berkenaan.


Kerajaan pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi, sedang berusaha menjalin hubungan ekonomi dan politik lebih rapat dengan jirannya, bagi mengekang pengaruh China yang semakin meluas di rantau itu.


Pada masa sama, pegawai tenaga India sedang mengadakan perbincangan berasingan dengan beberapa negara untuk lanjutan ketersambungan grid tenaga serantau dalam mesyuarat peringkat menteri Kumpulan 20 (G20) di Goa, India.


Kepercayaan daripada anggota G20 dilihat sebagai kunci utama untuk sokongan bank dan pihak pemaju dalam membuat keputusan pelaburan, kata seorang pegawai kementerian.


Katanya, India juga sudah berhubung dengan syarikat utiliti Perancis, EDF untuk membangunkan rangka kerja perundangan bagi menguruskan cabaran utama termasuk harga, dengan EDF dijangka menyiapkan laporan menjelang hujung tahun ini.


"Apabila kita dapat menghubungkan grid nasional India ke Myanmar, kita dijangka dapat memperkukuh grid di sana dan terus ke Thailand dan timur Asia," katanya.


Meskipun sambungan grid rentas sempadan berjaya menarik pelaburan dan minat kerajaan di Eropah hingga ke Asia Tenggara, peningkatan harga pembangunan kabel dasar laut, lonjakan harga barang asas untuk menambah baik grid serta ketegangan geopolitik mencetus persoalan sama ada projek seumpamanya boleh dilaksanakan.


Negara anggota ASEAN sudah berusaha mewujudkan grid serantau sejak berdekad lamanya untuk mempermudahkan perdagangan tenaga secara pelbagai hala, namun kemajuannya masih terhad kepada perjanjian dua hala antara negara tertentu.


Sumber: Berita Harian


India sasar jual bekalan elektrik di Asia Tenggara

Comentários


bottom of page