KUALA LUMPUR 13 Mei - Pembinaan antara sektor yang mencatatkan prestasi terbaik bagi tempoh sepanjang tahun ini (ytd) dengan Indeks Pembinaan Bursa meningkat +18.2%.
Menurut MIDF Research, untuk separuh kedua 2024 (2H24), sektor pembinaan akan terus dipacu arah aliran kerja lebih kukuh selaras jangkaan pelaksanaan projek pembangunan kerajaan di bawah Belanjawan 2024 yang keseluruhannya bernilai RM90 bilion.
Firma penyelidikan itu berkata, antara projek di bawah perbelanjaan pembangunan (DE) ialah sekolah, hospital, klinik dan jalan raya dengan pada masa sama, Kementerian Kerja Raya menganggarkan projek daripada pihak swasta juga berjumlah RM90 bilion.
"Kami telah menganjurkan sesi ceramah makan tengah hari yang disampaikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan Khamis lalu. Beliau menganggarkan kira-kira 40% atau RM36 bilion DE dijangka dilancarkan menjelang pertengahan 2024.
"Timbalan Menteri Kerja Raya itu berkata, terdapat anggaran RM180 bilion pekerjaan dalam perancangan, RM90 bilion daripada DE dan RM90 bilion daripada sektor swasta," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
MIDF Research dalam pada itu mengekalkan saranan POSITIF terhadap sektor pembinaan didasarkan pada rantaian kerja yang kukuh yang boleh dijangka pada masa depan, sama ada awam atau swasta.
"Jangkaan Timbalan Menteri Kerja Raya mengenai aliran pekerjaan awam yang lebih banyak bermula pada pertengahan tahun ini lebih mengukuhkan keyakinan kami bahawa kontraktor akan sibuk dalam beberapa tahun akan datang.
"Permintaan yang meningkat untuk bangunan industri seperti pusat data, gudang, dan kilang semikonduktor yang turut meningkatkan sentimen.
"Mulai Jan-24 hingga Apr-24, projek bernilai RM54.22 bilion telah diberikan, peningkatan +33.1% berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu. Pilihan utama kami adalah Gamuda (BELI, TP: RM5.98), IJM Corp (BELI, TP: RM2.57) dan Malayan Cement (BELI, TP: RM5.33)," katanya.
Firma penyeldikan beberapa projek utama kerajaan yang bakal memulakan pembinaan pada 2H2024 termasuk Lebuh Pan Borneo Sabah, projek tebatan banjir, LRT pupalu Pinang, pembangunan semula KL Sentral, MRT3 (laluan bulatan) dan Jalan Raya Menghubungkan Sarawak-Sabah.
Sumber: Dagang News
Indeks Pembinaan Bursa Malaysia naik 18.2%, MIDF Research jangka aliran kerja terus kukuh 2H24
Kommentarer