KUALA LUMPUR: Sistem Bangunan Berindustri (IBS) adalah jawapan industri pembinaan kepada Revolusi Industri 4.0 atau Industri 4.0 yang mengetengahkan automasi dan pendigitalan dalam senario industri global.
Ketua Pegawai Pelaburan Scotia Real Estate Group Pte Ltd, Francis Tan, berkata IBS adalah cara untuk industri pembinaan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja, meningkatkan kualiti dan kecekapan.
"Apabila (penggunaan meluas IBS) bermula, kebergantungan kepada tenaga kerja akan berkurangan," katanya selaku ahli panel sidang Sidang Kemuncak Harta Tanah PropertyGuru Malaysia 2017, di sini hari ini.
Seorang lagi ahli panel, Pengarah Sekutu Kanan Penyelidikan Ekuiti Affin Hwang Capital, Loong Chee Wei, berkata IBS membantu mempercepatkan masa pembinaan dan mengurangkan kenaikan kos bahan dan buruh.
"Harga besi naik 45-55 peratus satu tan tahun ini," katanya sambil menambah, kontraktor juga perlu menyerap peningkatan dalam levi buruh asing kerana peraturan baharu memerlukannya ditanggung majikan.
Sebelum ini, levi pekerja asing pada mulanya dibayar oleh majikan dan dipotong secara bulanan daripada gaji pekerja.
Loong juga memuji kerajaan atas usaha menggalakkan penggunaan IBS, tetapi menegaskan lebih banyak lagi yang perlu dilakukan sebelum ia dapat diterima sepenuhnya dalam industri.
"Pada masa ini, tidak banyak peserta IBS di Malaysia dan terdapat kekurangan bekalan IBS. Kita memerlukan satu skala untuk menjadikan IBS berjalan lancar," katanya.
Pengarah Projek Binastra Land, Steven Ooi pula berkata, bagi memastikan adanya pekerja mahir yang diperlukan IBS, peserta industri perlu melatih tenaga kerja mereka, bukan hanya bergantung kepada kerajaan untuk menyediakannya.
Sidang Kemuncak dianjurkan portal hartanah dalam talian, PropertyGuru Malaysia itu, bertemakan 'Membentuk Masa Depan Harta Tanah Malaysia'.
Ia sebahagian daripada siri forum hartanah Sidang Kemuncak Hartanah Asia PropertyGuru yang memberi tumpuan kepada strategi canggih dan inovasi industri.
Forum sehari itu diadakan setiap tahun di pasaran hartanah yang paling mantap di rantau ini seperti Singapura, Thailand dan Indonesia. - BERNAMA
Sumber: Berita Harian
Temui pakar teknologi IBS Malaysia di Seminar Construction Evolution 2019 pada 2 Oktober 2019 di The Everly Hotel Putrajaya. Peluang untuk anda ketahui lebih lanjut berkaitan penggunaan teknologi IBS di dalam industri pembinaan. Dapatkan tiket anda di www.evolusibina.com/seminar
Comments