top of page

Hutan simpan di Selangor terancam lagi


Hutan simpan di Selangor terancam lagi Utusan Malaysia www.utusan.com.my
BELUM lagi isu penyahwartaan Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) selesai, kini muncul pula aktiviti penerokaan Hutan Simpan Kekal Bukit Lagong (HSKBL).

SHAH ALAM: Belum lagi isu penyahwartaan Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) selesai, kini muncul pula aktiviti penerokaan Hutan Simpan Kekal Bukit Lagong (HSKBL) bagi kerja-kerja kuari menyebabkan hutan simpan di negeri ini semakin mengecil.


Lebih menyedihkan, perluasan kawasan kuari didakwa berlaku di Bukit Lagong melibatkan lapan buah syarikat yang diberikan lesen oleh kerajaan negeri.


Malah, 19 lagi syarikat didakwa bakal menyertai ak­tiviti kuari itu yang ber­operasi sejak 20 tahun lalu menyebabkan perluasan pembersihan hutan sehingga 880 hektar.


Hal tersebut dikhuatiri menyebabkan Kawasan Sen­sitif Alam Sekitar (KSAS) tahap satu itu terputus litupannya yang bersambung dengan hutan bahagian te­ngah Semenanjung atau Central Spine Forest (CSF).


Berdasarkan Garis Panduan Pemuliharaan Perancangan dan Pembangunan KSAS yang dikeluarkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa pada 2017, KSAS adalah suatu kawasan khas yang sangat sensitif kepada sebarang bentuk perubahan ekosistemnya akibat proses alam semula jadi atau aktiviti di dalam atau di sekitarnya.


Aktiviti tersebut sama ada secara langsung atau tidak langsung yang mana tahap kesensitifannya ditentukan berasaskan pengintegrasian cirian unsur-unsur fungsi risiko bencana, nilai sokongan hidup serta nilai khazanah dan warisan kawasan tersebut.


Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Damien Thanam Divean mendedahkan, HSKBL adalah termasuk dalam kira-kira 32 peratus hutan simpan yang perlu kerajaan negeri lindungi.


Bagaimanapun menurutnya, daripada jumlah itu, dianggarkan sebanyak 10 peratus sudah pun terancam dengan aktiviti penerokaan termasuk HSKBC, Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan Kuala Langat Selatan.


“Jika perluasan itu berlaku, perkara dibimbangkan adalah hidupan liar di sana akan kehilangan habitat asalnya. Tetapi paling utama adalah, kebimbangan terhadap berlakunya bencana alam akibat penerokaan dan pembersihan 880 hektar hutan. Berdebu, panas dan cuaca ekstrem pasti berlaku.


“Lebih mengejutkan, kawasan tersebut adalah berstatus Hutan Simpan Kekal, tetapi dibenarkan aktiviti kuari. Malah kita diberitahu syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti kuari itu dianugerahkan kepada mereka tanpa melalui tender terbuka,” katanya.


Justeru beliau menambah, projek pengkuarian tersebut dipercayai wujud ‘kawasan kelabu’ pada prosedur pelaksanaannya kerana selain statusnya yang masih kekal sebagai hutan simpan, tiada laporan penilaian alam sekitar dibuat terhadap aktiviti itu.


“Adakah kerajaan negeri berminat untuk membuat analisis kos faedah terhadap hutan di Bukit Lagong? Kenapa isytihar sebagai kawasan hutan simpan, tetapi sebahagiannya sudah tiada pokok dan selebihnya sehingga 880 hektar akan dibersihkan.


“Persoalan lain pula, jika kerajaan negeri kekalkan kawasan kuari itu sebagai hutan simpan, adakah mereka akan melakukan penanaman semula pokok-pokok di sana sedangkan kuari tersebut sudah beroperasi lebih 20 tahun?” Soalnya.


Pembangunan di hutan Batang Kali

Dalam pada itu, Damien turut mendedahkan, sebuah lagi projek berorientasikan keuntungan pada kawasan hutan seluas kira-kira 440 hektar dekat bahagian tanah tinggi di Batang Kali, Hulu Selangor.


Tegas aktivis alam sekitar itu, pelaksanaan projek tersebut dilihat berisiko menyebabkan kawasan-kawasan rendah seperti pekan Batang Kali, Serendah dan kawasan sekitarnya diancam dengan isu bencana alam.


“Saya tiada halangan jika kerajaan negeri membenarkan projek pembangunan di atas tanah persendirian seperti itu, tetapi perkara yang membimbangkan adalah pembinaan pusat pelancongan, bangunan komersial, rumah, hotel dan sebagainya di kawasan tanah tinggi atau lereng bukit.


“Tindakan sedemikian bakal membenarkan bencana alam yang pernah berlaku di Bentong, Pahang, seperti banjir lumpur, tanah runtuh dan sebagainya berlaku di bahagian barat Banjaran Titiwangsa. Akhirnya penduduk sekitar akan menerima akibatnya,” jelasnya.


Justeru, Damien menggesa kerajaan negeri mendedahkan analisis kos faedah berbanding keuntungan yang diperoleh dalam projek tersebut apabila bencana alam berlaku dan menjejaskan penduduk di kawasan berhampiran.


“Tetapi lebih baik, kerajaan negeri membeli semula tanah-tanah hutan yang dimiliki secara persendirian dan menjadikannya sebagai kawasan dilindungi atau hutan simpan kekal,” sarannya.


Sumber: Utusan


Comments


bottom of page