KUALA LUMPUR: HSS Engineers Bhd dijangka terus mencatatkan prestasi cemerlang di bawah kerajaan baharu memandangkan kebanyakan kontraknya diperoleh menerusi tender terbuka dan syarikat itu kekal kompetitif untuk membida projek-projek baharu kerajaan.
Penganalisis Affin Hwang Investment Bank Bhd, Loong Chee Wei, berkata HSS Engineering tidak terjejas dengan semakan semula kontrak kerajaan kecuali kerja naik taraf Projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2) membabitkan kontrak bernilai RM5 juta yang diperoleh menerusi rundingan terus, namun masih belum dianugerahkan.
Katanya, kebanyakan kontrak yang diperolehnya ketika ini adalah melalui tender terbuka
dengan kontrak dalam tangan syarikat itu pada akhir suku ketiga 2022 adalah sebanyak RM1.47 bilion.
"Kebanyakannya terdiri daripada kontrak diperolehi melalui tender terbuka, yang merangkumi RM998 juta bagi Perunding Pengurusan Projek MRT3 dan kontrak bernilai RM145 juta bagi Perunding Pengurusan Projek (PMC) Fasa 1A Lebuhraya Pan Borneo (PBH).
"Kerajaan Perpaduan sudah menyatakan kontrak yang diberikan tidak akan disemak dan hanya kontrak yang belum selesai dianugerahkan melalui rundingan terus akan dikaji semula," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Chee Wei berkata, HSS dijangka dapat merealisasikan margin keuntungan yang lebih baik pada kontrak reka bentuk kejuruteraan tertentu yang hampir siap yang boleh meningkatkan pendapatan suku keempat 2022.
Beliau berkata, pengebilan kemajuan untuk Projek Fasa 1A PBH Sabah mungkin akan dipercepatkan.
"Oleh itu, kami meningkatkan pertumbuhan perolehan sesaham (EPS) teras sebanyak 32 peratus pada 2022 dan dua hingga tigga peratus pada 2023 hingga 2024.
"Kami melihat prospek yang baik untuk HSS Engineers untuk membida PBH Sabah Fasa 1B, yang boleh menjadi dua kali ganda nilai kontrak Fasa 1A," katanya.
Chee Wei berkata, secara keseluruhan, HSS mempunyai baki buku pesanantinggi sebanyak RM1.47 bilion ketika ini atau 8.9 kali daripada pendapatan 2021.
Beliau berkata, pemerolehan kontrak baharu pada sembilan bulan pertama 2022 saja bernilai RM1.1 bilion.
Katanya, sifat jangka panjang beberapa projek seperti MRT3 memberikan keterlihatan pendapatan yang baik dalam tempoh lima hingga lapan tahun akan datang.
"Sebahagian besar daripada baki buku pesanannya adalah untuk kerja-kerja kereta api (51 peratus daripada buku pesanan).
"Terdapat prospek yang baik untuk menambah buku pesanannya. Ini kerana, kerajaan akan mempercepatkan perbelanjaan infrastruktur selepas pembentangan semula Bajet 2023 pada suku pertama 2023 bagi menyokong pertumbuhan ekonomi tahun depan," katanya.
Sumber: Berita Harian
Komentar