KUALA LUMPUR 20 Nov - Untung bersih HSS Engineers Berhad (HEB) melonjak 39,9% kepada RM7.2 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2024(3Q2024) daripada RM5.2 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
Penyedia perkhidmatan kejuruteraan itu berkata, peningkatan dalam untung bersih kumpulan didorong oleh pengembangan portfolio projek yang pelbagai merentasi pasaran domestik dan antarabangsa.
Katanya, untung bersih pada suku itu juga didorong oleh sumbangan hasil RM50.4 juta kumpulan, iaitu menaik sebanyak 6.3% pada 3Q24 daripada RM47.4 million pada suku yang sama tahun lepas.
“Segmen Perundingan Pengurusan Projek (PMC) merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan hasil, yang mencatatkan peningkatan 20.2% kepada RM25.1 juta pada 3Q24 daripada RM20.9 juta sebelumnya.
"Pertumbuhan tersebut didorong terutamanya oleh hasil daripada projek Metro Baghdad di Iraq.
"Selain itu, HEB memiliki buku pesanan RM2.1 billion didorong oleh kehadiran kumpulan yang semakin meningkat di luar negara dengan menjalankan projek infrastruktur utama di Iraq, Kemboja, Indonesia, Filipina dan Bangladesh," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Di samping itu, buku pesanan kumpulan yang padat termasuk beberapa projek domestik yang besar iaitu, Fasa 1A Lebuhraya Pan Borneo Sabah, pelan induk pembangunan semula Lapangan Terbang Subang, Fasa 2 Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), serta pelbagai projek naik taraf sistem air.
Mengulas tentang prestasi kewangan 3Q2024 kumpulan, Naib Pengerusi Eksekutif HSS Engineers Bhd, Tan Sri Ir. Kuna Sittampalam berkata, HEB menyasar untuk menjana 25% daripada hasil usaha niaga luar negara menjelang 2027.
"Sasaran kami disokong oleh usaha sama yang ditandatangani dengan Opus International untuk meneroka peluang berkaitan infrastruktur di Asia Tenggara dan Asia Barat, serta perkongsian strategik kami dengan perunding kejuruteraan Jepun," katanya.
Sementara itu HEB kini sedang membuat tender untuk projek bernilai RM483 juta merentasi pelbagai sektor sambil mempelbagaikan portfolionya secara strategik untuk saluran pertumbuhan tambahan.
Sumber: Dagang News
Opmerkingen