top of page

HSR wajar dibatal, ramai akan tinggal di KL tetapi kerja di Singapura


Cadangan projek HSR bertujuan untuk mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada 90 minit - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia seharusnya menghentikan pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang bernilai berbilion ringgit, sebaliknya memberi tumpuan kepada kesalinghubungan domestik, kata pakar pelaburan saham.


Ketua Pegawai Eksekutif Capital Dynamics dan wakil icapital.biz Bhd (ICAP), Tan Teng Boo, berkata jika HSR dilaksanakan, ramai yang akan tinggal di Kuala Lumpur tetapi bekerja di Singapura.


Justeru, beliau berkata, Malaysia akan mengalami lebih banyak pengaliran keluar tenaga kerja berkemahiran memandangkan rakyat akan memilih untuk bekerja di Singapura yang berpendapatan tinggi.


"Manfaatnya akan lebih kepada Singapura, bukan Malaysia," katanya pada Hari Pelabur 2024 anjuran ICAP dengan tema 'Bagaimana Seorang Usahawan 'Romantis' Temui Kejayaan dengan Berimpian Melebihi Wang'.


Cadangan projek HSR yang dijangka sepanjang 350 kilometer antara Kuala Lumpur dan Singapura itu bertujuan untuk mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar kepada 90 minit berbanding lebih empat jam dengan kereta.


Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sekarang bukan masanya melaksanakan projek mega.


Sebaliknya, beliau berkata pembangunan negara akan menumpukan kepada projek-projek berkepentingan rakyat serta kemudahan yang menyokong kawasan perindustrian mengikut keutamaan negeri.


Menyokong saranan Perdana Menteri itu, Teng Boo menggesa supaya tumpuan diberikan kepada kesalinghubungan antara negeri-negeri di Malaysia, terutamanya dari kawasan luar bandar ke bandar.


"Negara secara keseluruhannya akan mendapat lebih banyak manfaat," katanya.


Sementara itu, beliau turut menyatakan bahawa semikonduktor kekal sebagai sektor paling penting di Malaysia kerana ia menyediakan kira-kira 10 peratus dalam sektor pembuatan negara.


Katanya, dengan sumbangan Malaysia antara tujuh peratus hingga 10 peratus kepada pengeluaran cip global, Kerajaan Persekutuan dan Negeri dilihat sedang mengambil langkah yang betul dengan melabur dalam taman reka bentuk litar bersepadu (IC) di Selangor dan Pulau Pinang.


Jelasnya, langkah itu akan memberikan manfaat jangka panjang kepada Malaysia kerana ia memerlukan pengetahuan, bukan sekadar modal.


Pada Hari Pelabur 2023 tahun lalu, Teng Boo mula berpendirian positif terhadap Malaysia untuk kali pertama dalam tempoh sedekad kerana pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap politik Malaysia semakin berkurang.


Tahun ini, pakar pelaburan saham itu kekal positif terhadap Malaysia, selain daripada pembaharuan sosial dan ekonomi positif yang dilaksanakan oleh Anwar.


Sehubungan itu, beliau yakin bahawa indeks penanda aras pasaran saham tempatan, FBM KLCI akan mencapai antara 2,500 hingga 3,000 mata dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.


Teng Boo berkata, keutamaan ICAP adalah mengubah masyarakat umum untuk menjadi pelabur yang lebih bijak dan berpengetahuan.


Katanya, pelabur bijak akan membawa kepada pasaran modal yang lebih baik, akhirnya akan menjadikan Malaysia ekonomi lebih berdaya tahan dan tempat tinggal lebih baik dari segi sosial.


Comentários


bottom of page