BEIJING: Syarikat Kereta Api Antarabangsa China (CRI) telah memulakan ujian bersepadu di landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung pada Isnin.
Ujian itu menandakan bahawa pembinaan HSR berkenaan sudah pun mencapai kemajuan besar, sekali gus menyediakan asas kukuh bagi keseluruhan operasianya pada masa depan.
Menurut wakil CRI, ujian bersepadu bertujuan untuk memastikan tren dapat beroperasi dengan selamat dan stabil, selain merupakan ujian ketat dan pengubahsuaian kelengkapan sebelum HSR itu beroperasi secara rasmi.
"Ujian secara telilti akan dijalankan terhadap fungsi landasan, pembekalan tenaga, katenari, telekomunikasi, isyarat dan amaran awal supaya memenuhi pelbagai keperluan yang sudah direka bentuk serta operasi," katanya.
Sejak dimulakan pada 9 Jun 2018, pembinaan HSR Jakarta-Bandung dijalankan secara teratur dan lancar dengan galakan pemimpin tertinggi China dan Indonesia dan usaha gigih pengendali kedua-dua negara.
HSR Jakarta-Bandung merupakan projek ikonik dalam pembinaan Inisiatif Jalur & Laluan (BRI) dan kerjasama China dengan Indonesia.
Projek landasan sejauh 142 kilometer menghubungkan Jakarta dengan Bandung, bandar keempat terbesar di negara itu dan mempunyai kelajuan maksimum 350 kilometer sejam.
Sebaik projek itu siap kelak, perjalanan dari Jakarta ke Bandung hanya akan mengambil masa 40 minit berbanding lebih tiga jam sebelum ini.
Projek berkenaan bukan sahaja akan memacu pembangunan sosioekonomi di sepanjang landasan itu, tetapi juga amat penting bagi meningkatkan kerjasama pragmatik China-Indonesia, memperkasakan pembangunan bermutu tinggi BRI serta pelaksanaan strategi 'titik tumpu maritim global' yang dikemukakan oleh Indonesia.
Sumber: Berita Harian
ความคิดเห็น