top of page

Henti projek HSR, tumpu rangkaian domestik



KUALA LUMPUR- Cadangan untuk melaksanakan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura patut dihentikan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital Dynamics, Tan Teng Boo.


Beliau yang juga wakil icapital biz Bhd. berkata, Malaysia sepatutnya memberi tumpuan kepada rangkaian domestik.


Dalam ucaptama sempena Hari Pelabur 2024, Teng Boo berpendapat, projek HSR hanya memberi lebih banyak manfaat kepada Singapura berbanding Malaysia.


“Jika HSR dilaksanakan, ramai yang akan tinggal di Kuala Lumpur tetapi bekerja di Singapura.


“Malaysia akan mengalami lebih banyak pengaliran keluar tenaga kerja berkemahiran kerana rakyat akan memilih untuk bekerja di Singapura yang berpendapatan tinggi.


“Manfaatnya akan lebih kepada Singapura, bukan Malaysia,” katanya.


Projek HSR melibatkan landasan kereta api sepanjang 350 kilometer antara Kuala Lumpur dan Singapura yang bertujuan untuk mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar tersebut kepada 90 minit daripada lebih empat jam dengan kereta.


Ketika diumumkan kali pertama pada 2013, kos projek HSR KL-Singgapura dianggarkan RM72 bilion.


Bagaimanapun, projek kereta api laju sepanjang 350 kilometer itu kini dianggarkan melebihi RM100 bilion.


Keputusan mengenai status projek itu masih belum diumumkan oleh kerajaan.


“Sebaliknya, fokuskan kepada rangkaian antara negeri-negeri di Malaysia, terutamanya dari kawasan luar bandar ke bandar.


“Negara secara keseluruhannya akan mendapat lebih banyak manfaat daripada hasil ini,” tambahnya.


Dalam perkembangan lain, Teng Boo berkata, sektor semikonduktor kekal sebagai sektor paling penting di Malaysia kerana ia menyediakan kira-kira 10 peratus daripada jumlah pekerjaan dalam sektor pembuatan negara.


Dengan sumbangan Malaysia antara 7 peratus hingga 10 peratus kepada pengeluaran cip global, beliau berpendapatkerajaan Persekutuan dan negeri sedang mengambil langkah yang betul dengan melabur dalam taman reka bentuk litar bersepadu (IC) di Selangor dan Pulau Pinang.


Katanya, langkah itu akan memberikan manfaat jangka panjang kepada Malaysia kerana ia memerlukan pengetahuan, bukan sekadar modal.


Comments


bottom of page