KUALA LUMPUR, 23 Okt: Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong menggesa Kerajaan Persekutuan agar segera melaksanakan tiga projek mega di kawasannya yang telah diluluskan sebelum ini bagi mempercepatkan pembangunan di Lawas dan menyeimbangkan pembangunannya dengan bandar-bandar besar lain di sekitarnya.
Tiga projek mega yang dimaksudkan adalah pembinaan Projek Sabah-Sarawak Link Road (SSLR), Lebuhraya Pesisir Utara Sarawak, dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Lawas.
“Bukan itu sahaja, projek jalan raya menuju ke sempadan Indonesia dan Ba’kelalan, dan jalan dari Murud Suang ke Long Tengoa juga perlu dilaksanakan secepat yang mungkin.”
“Saya juga menyeru agar kerajaan memberi tumpuan dan keutamaan terhadap pelaksanaan projek infrastruktur, jalan raya, jambatan dan lain-lain kemudahan awam di kawasan luar bandar termasuk di Parlimen Lawas agar tidak ketinggalan jauh berbanding dengan kawasan-kawasan lain serta dapat mencapai kesimbangan dari segi pembangunan,” katanya pada sesi perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam sesi pembahasannya, beliau turut menzahirkan penghargaan atas usaha Kerajaan Sarawak untuk menanggung kos pembinaan pelabuhan laut dalam berdekatan Pulau Sari, Lawas.
Menurut beliau, pelabuhan ini dapat mengurangkan kos keperluan harian yang tinggi akibat pengangkutan barang dari Kota Kinabalu, Sabah.
Justeru, beliau mempersoalkan peranan Kerajaan Persekutuan yang seolah-olah melepaskan tanggungjawab kepada Kerajaan Sarawak untuk menanggung sepenuhnya projek-projek ini.
“Persoalannya di sini, apakah tanggungjawab kerajaan pusat ke atas projek mega seperti ini yang sepatutnya di bawah kelolaan kerajaan pusat?
“Adakah kerajaan akan membayar balik kos pelaksanaan projek tersebut kepada Kerajaan Sarawak di kemudian kelak?,” soalnya lagi.
Pada Ogos lalu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut mempersoalkan kelewatan pembinaan MRSM Lawas.
Menurutnya, peruntukan serta tanah telah diluluskan, namun masih tiada tanda-tanda bahawa projek berkenaan akan dimulakan.
Sehubungan itu, Henry berharap Kerajaan Persekutuan akan mengambil tindakan segera bagi memastikan projek-projek ini dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat di kawasannya.
Sumber: TVS
Comments